Prakata

Tahniah juga kepada anda kerana telah membuat pilihan yang tepat untuk mendapatkan ilmu yang terbaik dalam menyambut kelahiran bayi anda sekali gus menjadi ibubapa cemerlang. 

Kelahiran bayi menjadikan kita bergelar ibubapa. Dunia ibubapa adalah dunia penuh tanggungjawab yang perlu dilengkapi ilmu keibubapaan dalam mengenali tabiat anak-anak dan bagaimana mengendalikan mereka. Dalam kegembiraan anda menimang cahaya mata, anda seharusnya siap untuk memikul beban dalam menjalankan hak-hak anak kerana bayi tidak hanya ketawa sepanjang hari tetapi tangisan akan menghiasi hari-harinya lantaran tangisan adalah bahasa bayi untuk berkomunikasi dengan anda. Kegagalan ibubapa dalam memahami tangisan dan keperluan bayi akan banyak membawa kesan negatif kepada anda sekeluarga. 

Sebagai keluarga Muslim juga, kita tidak hanya sekadar menitikberatkan urusan kehidupan dunia anak-anak sahaja tetapi kita juga dianjurkan oleh agama untuk menjaga diri dan seluruh ahli keluarga kita daripada azab api neraka. Makanya, soal agama tetap merupakan elemen penting yang perlu dibenihi dalam diri anak-anak agar tumbuh menjadi insan pintar soleh yang membahagiakan kita di dunia dan akhirat. Jika kita tidak memilih ibu yang solehah untuk anak, tidak memberikan nama yang baik kepadanya dan tidak pula menekankan suruhan beragama, maka ibubapa terlebih dahulu menderhakai anak sebelum anak menderhakai mereka. 

Panduan Lengkap Menyambut Kelahiran Bayi adalah panduan terbaik untuk membantu ibubapa bersedia dalam menyambut kelahiran bayi kerana ia adalah ilmu baru untuk mereka yang belum pernah mempunyai bayi dari segi duniawi dan ukhrawi. Tidak sekadar panduan dan tips berguna diketengahkan kepada anda tetapi ebook ini turut menyingkap realiti suka duka membesarkan bayi anda. Kami juga memuatkan langkah-langkah praktis untuk membantu ibubapa mendidik bayi menjadi pintar soleh.

Semoga berkongsian ini memberi manfaat yang besar buat bakal ibubapa dalam mengharungi dunia bersama bayi yang penuh cabaran dan keseronokan. Belajarlah untuk mencintai bayi dan tugas baru anda kerana berkorban untuk orang yang dicintai adalah sebuah kebahagiaan. Semoga setiap saat anda bersama bayi adalah berupa ibadah di sisi Allah kerana anak adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan Allah di akhirat kelak. DariNya kita datang dan kepadaNya jualah kita dikembalikan.


Dari tinta penulis,
Siti Rohana binti Ghazali