Bab 20 : Nota Ibu Belajar dan Bekerja

Ramai di kalangan para ibu adalah wanita berkarier yang menyumbang kepada ekonomi keluarga. Kemungkinan besar para ibu untuk kembali bekerja selepas bersalin adalah tinggi bagi memastikan ekonomi keluarga akan tetap kukuh. Bagi ibu yang masih belajar di institusi pengajian tinggi samaada ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan PhD juga perlu kembali ke kuliah. Jadi, anda perlulah siap untuk menghadapinya waktu-waktu getir ini. 

Rancang penyusuan esklusif
Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Jadi berusahalah untuk meneruskan penyusuan esklusif walaupun anda telah kembali ke kuliah atau bekerja. Susukan bayi anda semasa waktu cuti berpantang dan berusahalah  untuk menyediakan stok EBM sebelum anda kembali ke kuliah atau bekerja. Pastikan juga adakah pihak majikan anda menyokong penyusuan susu ibu dan menyediakan kemudahan untuk ibu menyediakan EBM di tempat kerja. 

Bagi yang kuliah pula, bilik kawan di IPT boleh digunakan untuk membantu anda menyediakan EBM. Sediakan kewangan yang cukup untuk membeli alatan bagi menyediakan EBM sewaktu di tempat kerja yang bersesuaian dengan anda. Selain ilmu yang dikongsi di dalam buku ini, anda juga boleh meminta khidmat nasihat berkaitan penyusuan di klinik berdekatan terutama klinik rakan bayi.

a) Istilah dalam penyusuan
EBM = Expressed Breast Milk.
Fresh EBM = Susu yang baru diperah
Chilled EBM = Susu yang telah perah, disejukkan di bahagian sejuk (bukan beku). Kebiasaannya chilled EBM akan membentuk dua lapisan dan ia bukan petanda basi.
Frozen EBM = Susu yang disimpan dalam tempat beku.

b) Cara memerah susu
Terdapat dua cara untuk memerah susu bagi menyediakan stok EBM (Expressed Brest Milk) iaitu dengan menggunakan tangan atau alat pengepam. 

i. Memerah menggunakan tangan
Memerah dengan tangan adalah pilihan terbaik jika perlu memerah susu pada hari-hari 1-3 selepas kelahiran. Pertama, basuh tangan dengan bersih sebelum memerah. Sediakan bekas yang bersih dan steril. Lakukan pemerahan di tempat yang bersih, tenang dan selesa dalam keadaan duduk atau berdiri mengikut keselesaan anda. Buat sedikit urutan pada payudara dan rangsang/gentel puting payudara, tuam payudara, melihat gambar bayi dan mencium baju bayi anda untuk memberi rangsangan (refleks oksitosin atau let-down reflex). 

Setelah itu, buat pegangan “C” pada payudara, letakkan ibu jari di sebelah atas payudara berdekatan areola manakala jari telunjuk di bahagian bawah (utara dan selatan) dan tekan payudara ke belakang ke arah dada. Picit payudara dengan lembut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk selama 2 saat dan lepaskan. Teruskan memicit sehingga susu keluar. Pastikan anda memerah ke dalam bekas yang bersih dan steril. Buat berulang kali sehingga tiada lagi susu keluar.

Tukar posisi jari ke bahagian lain mengikut pusingan semua bahagian payudara (timur-barat, tenggara-barat laut, barat daya-timur laut) dengan mengulangi proses memerah sehingga tiada lagi titisan susu. Kemudian, lakukan langkah tadi pada payudara lain. Urut kedua-dua payudara dan mulakan sekali lagi. Perah setiap payudara 5-10 minit secara bergilir. Setelah selesai memerah, sapukan beberapa titik susu ke atas puting dan keringkan puting payudara anda.

ii. Memerah menggunakan pam payudara
Jika anda menggunakan pam payudara untuk mengepam keluar susu anda. Anda bebas untuk memilih untuk mengepam semasa bayi menyusu ataupun tidak. Pertama, baca panduan penggunaan pam dan panduan pembersihan peralatan mengepam sebelum menggunakannya. Basuh peralatan pam dengan bersih dan sterilkan peralatan mengepam seperti yang telah dinyatakan dalam panduan yang diberikan.

Basuh tangan anda dengan bersih dan pilihlah untuk duduk atau berdiri dalam keadaa yang selesa. Rangsang puting payudara untuk menghasilkan refleks oksitosin (let-down reflex) seperti mengurut, menuam, melihat gambar bayi atau mencium bajunya. Setelah itu, posisikan puting payudara ke dalam corong breast shield dan mulalah mengepam. Jika anda menggunakan pam elektrik atau bateri, mulakan pada kelajuan hisapan paling rendah dan kemudian laraskan kelajuan hisapan mengikut keselesaan. Pam kedua-dua belah payudara secara bergilir-gilir. Masa mengepam yang dicadangkan antara 10-20 minit (berbeza setiap individu).

Secara umumnya, memerah susu ibu perlu dilakukan dalam keadaan tenang, selesa dan tidak menyakitkan. Urutan dan rangsangan pada puting payudara perlu untuk mencetuskan refleks oksitosin (let-down reflex). Memerah dengan kerap adalah lebih berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu ibu berbanding memerah dalam tempoh masa yang lama dalam satu sesi pemerahan. Pilih pam yang sesuai sama ada pam manual, pam elektrik atau pam elektik yang boleh menggunakan bateri,single pump atau double pump.

Pam yang baik adalah pam yang mampu meniru gaya hisapan bayi (baby mimic suction). Patuhi rutin mengepam setiap hari (3-4 kali dalam tempoh bekerja 8 pagi – 5 petang). Memerah susu pada waktu malam juga dapat meningkatkan penghasilan susu ibu. Ibu juga digalakkan memerah susu pada sebelah payudara sambil bayi menghisap payudara yang satu lagi untuk meningkatkan ransangan.

c) Jadual memerah susu
Ibu bekerja dan belajar perlu menggunakan waktu cuti berpantang sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali ke kuliah atau bekerja untuk membiasakan diri mengepam susu sekali gus menyediakan stok EBM untuk bayi anda.


d) Cara menyimpan EBM
Susu yang telah diperah perlulah dimasukkan ke dalam bekas yang bersih dan bertutup dengan kuantiti susu yang cukup untuk sekali penyusuan. Bekas yang boleh digunakan untuk menyimpan susu seperti botol susu bebas BPA (Bisphenol-A), bekas plastik, bekas dadih, tupperware atau breast milk storage liners.
Jika anda ingin bekukan susu tadi, pastikan ia tidak diisi terlalu penuh. Tutup bekas yang telah diisi EBM dengan rapat dan labelkan tarikh susu disimpan. Letakkan bekas tersebut di bahagian dalam peti ais kerana suhu di kawasan tersebut lebih stabil berbanding kawasan yang berdekatan dengan pintu peti ais. Berikut adalah jadual penyimpanan EBM. 


e)Cara menggunakan EBM

Sebelum EBM diberikan kepada bayi, EBM perlulah dipanaskan. Keluarkan stok EBM dari peti ais untuk sekali penyusuan. Masukkan EBM anda ke dalam bekas yang berisi air panas. Tunggu sehingga EBM cair dan panas. Masa untuk memanaskan stok frozen EBM lebih lama berbanding chilled EBM. Goncangkan susu yang telah cair. Masukkan ke dalam botol susu dan ia siap diminum.

Pastikan anda tidak memanaskan EBM di dalam microwave atau di atas dapur gas. Jika anda ingin meninggalkan EBM kepada pengasuh, berikan fresh EBM atau chilled EBM agar lebih mudah dipanaskan.

f) Mengepam EBM di tempat kerja
Jika taman jagaan anak anda berdekatan dengan pejabat atau IPT anda, adalah lebih baik jika anda menggunakan waktu rehat anda untuk menyusukan bayi anda di taman jagaan tersebut. Tetapi, jika jauh atau terdapat kesulitan lain, mengepam EBM di tempat kerja atau bilik kawan di IPT adalah pilihan yang terbaik.

Pastikan anda membawa beg khas yang mengandungi alat pemerah susu, botol susu, chilled bag dan kiub ais. 
    
Pemilihan Taman Jagaan Kanak-kanak Yang Terbaik

Anda semestinya terpaksa meninggalkan bayi kepada pengasuh sebaik sahaja anda kembali ke kuliah bekerja. Oleh itu pilihlah pengasuh yang berpengalaman dalam menjaga bayi. Pusat jagaan bayi yang dipilih perlu dipastikan mendapat kelulusan daripada pihak berwajib, memastikan tahap keselamatan dan kebersihan bayi serta persekitaran. Anda boleh datang secara mengejut untuk mengetahui layanan sebenar yang diberikan kepada bayi anda. Jika, tempat tersebut berdekatan dengan tempat kerja anda, anda boleh berbincang dengan pemiliknya untuk datang menyusukan bayi anda ketika waktu rehat. Sesetengah IPT juga mempunyai taska di dalam kawasan IPT tersebut. Pastikan juga bayarannya juga berpatutan. Jadi anda juga boleh memilih untuk membayar ikut jam atau hari mengikut keperluan dan belanjawan anda. 

Pengurusan Masa yang Baik
Hakikatnya, ibu yang belajar dan bekerjaya perlu lebih mengurus masa dan stress dengan lebih bijak kerana anda perlu menguruskan kerja pejabat atau tugasan kuliah, peperiksaan, kerja rumah dan bayi. Jangan lupa juga untuk mengurus diri sendiri dan suami yang mungkin kian terpinggir. Berbincang dan berkerjasamalah dengan suami dan anak-anak yang ada untuk melicinkan segala urusan anda. 

Merancang jadual harian anda akan banyak membantu anda mengurus masa dengan baik. Selain itu, meminta pendapat dan nasihat daripada rakan yang mempunyai pengalaman yang sama dengan situasi anda juga amat membantu. 

Akhir sekali, berdoalah pada Allah agar anda diberi kekuatan dan kesabaran untuk anda memberi yang terbaik untuk keluarga yang anda cintai. Ingatlah bahawa kepenatan dalam melakukan kebaikan akan hilang, sedangkan kebaikan akan terus kekal.