Bab 23 : Perancangan Keluarga

Perancangan keluarga bertujuan untuk menghasilkan sebuah keluarga yang sihat dan ceria dengan merancang bilangan dalam jarak masa kehamilan yang sesuai. 

Faedahnya :
a) Ibu sudah bersedia untuk hamil dari aspek kesihatan, mental dan sosial. 
b) Anak mendapat kasih sayang, pemakanan yang sihat termasuk susu ibu dan penjagaan sepenuhnya. 
c) Suami juga dapat menyediakan kemudahan asas mengikut kemampuan fizikal, mental, sosial dan ekonomi keluarga.

Bagaimana hendak merancang ? 
Kaedah merancang kehamilan terbahagi kepada tiga kategori iaitu :
1. Kaedah semulajadi seperti kaedah penyusuan, kaedah masa selamat dan kaedah azal.
2. Kaedah Kontraseptif moden seperti pil, suntikan, implant, alat dalam rahim, kondom dan kaedah pemandulan bagi lelaki dan perempuan.
3. Kaedah tradisional iaitu pengamal herba.

1. Kaedah Semulajadi
Kaedah semulajadi ini tidak memerlukan kos kerana ia bergantung sepenuhnya kepada usaha individu terbabit. Walaubagaimana pun, kehamilan mungkin terjadi.  

a) Kaedah penyusuan
Ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif kemungkinan besar akan lambat haid kerana paras hormon lactase yang tinggi dan hormon progestron serta estrogen yang rendah. Sesetengah ibu ada yang hampir setahun tidak haid. Kehamilan hanya akan berpotensi terjadi selepas ibu mengalami haid.

b) Kaedah masa selamat
Kaedah ini dikira berdasarkan waktu ovulasi mengikut kitaran haid anda. 
Waktu ovulasi ialah waktu subur untuk anda hamil kerana ovum baru dibebaskan ke dalam tiub falopio. Jika anda ingin mengelakkan kehamilan, maka anda perlu mengelakkan ‘bersama’ suami 5 hari sebelum dan 5 hari selepas waktu ovulasi kerana sperma mampu hidup di dalam rahim wanita hingga 5 hari. Jika ovum ini tidak bertemu dengan sperma, maka anda akan mendapat haid. Jadi, anda seharusnya menandakan waktu haid anda setiap bulan untuk mengenal pasti jumlah hari untuk kitaran haid anda. Biasanya 28 hingga 35 hari. Ovulasi biasanya terjadi 14 hari sebelum haid seterusnya. Cara pengiraannya ialah seperti ini.

Waktu subur = Jumlah hari untuk kitaran haid – 14 hari
Jika kitaran anda 28 hari, 28 – 14 = 14. Waktu subur anda pada hari ke-14 dari hari pertama haid.

Tapi jika kitaran anda 35 hari, 35 - 14 = 21. Waktu subur anda pada hari ke-21 dari hari pertama haid. 

Kaedah ini sukar digunakan jika kitar haid anda berbeza setiap bulan. Sedangkan seekor daripada berjuta-juta sperma yang meluncur masuk ke dalam rahim anda sudah cukup untuk menyebabkan anda hamil.

c) Kaedah azal
Kaedah ini melibatkan komitmen pihak lelaki untuk menarik keluar penis ketika klimaks dari alat sulit wanita dan memancutkan sperma dan mani di luar supaya tidak berlaku ejakulasi dan sperma tidak masuk ke dalam laluan wanita. Namun begitu, sperma mungkin terpanjut juga ke dalam rahim sewaktu pra ejakulasi. Bagi sesetengah pasangan, cara ini agak kurang kepuasannya.

d) Pancutan air
Pancutkan air ke dalam kemaluan anda sebaik sahaja selepas bersama untuk membersihkan air mani dan menghalang sperma bertemu ovum. Walaupun cara ini kurang efektif tapi membersihkan kemaluan sebaik sahaja selepas bersama dapat mengelakkan sebarang jangkitan pada bahagian kemaluan  wanita dan mengelakkan ianya berbau.

2. Kaedah Kontraseptif moden
Kaedah ini menggunakan pil, alat dalam rahim, suntikan, implant, kondom dan pemandulan kekal bagi lelaki dan wanita. Kebanyakan kaedah ini boleh diperolehi di Klinik atau Hospital Kerajaan, Klinik atau Hospital Swasta, Klinik LPPKN, Klinik Persatuan Perancang Keluarga dan Farmasi juga menjual kondom dan pil perancang

Ibu-ibu digalakkan berbincang keperluan perancang keluarga semasa lawatan pemeriksaan antenatal(sebelum bersalin) atau selepas bersalin untuk mengetahui kaedah yang mana paling sesuai untuk anda. Pemilihan bergantung kepada keadaan individu. Ia mengambil faktor umur, masalah kesihatan, penyusuan bayi, pengambilan ubat-ubatan lain dan lain-lain. Kesan sampingan penggunaan kaedah ini berbeza mengikut individu.

a) Pil
Apakah ia ? : Pil ini mengandungi hormon sintetik pencegah kehamilan dalam bentuk progestron sahaja atau kombinasi estrogen dan progestron.
Cara berfungsi : Ia mencegah ovulasi (pengeluaran telur), menjadikan lender serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma dan menjadikan dinding rahim nipis dan tidak sesuai untuk pelekatan janin.
Cara penggunaan : Mula pada hari kelima haid. Diambil satu biji sehari selama 21 hari berturut-turut. Berhenti selama 7 hari. Ulang semula. Ada pelbagai jenis pil, jadi mintalah bantuan jururawat untuk memilih pil  yang bersesuaian dengan kondisi anda.
Keberkesanan :  Berkesan 99% sekiranya diambil mengikut arahan.
Faedah : Berkesan, selamat, mudah diperoleh, mengurangkan masalah senggugut dan kitaran haid teratur serta tidak mempengaruhi hubungan seksual.
Risiko : Kemungkinan hamil jika terlupa makan ubat, selera makan bertambah yang mana jika tidak dikawal akan menyebabkan kegemukan.

b) Suntikan
Apakah ia ? : Hormon sintetik penegahan kehamilan yang diberi secara suntikan di punggung.
Cara berfungsi : Mencegah ovulasi, menjadikan lender serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma dan menjadikan dinding rahim nipis dan tidak sesuai untuk pelekatan janin.
Cara penggunaan : Suntikan diberi setiap 3 bulan.
Keberkesanan : Keberkesanan hampir 100%
Faedah :  Sangat berkesan, selamat, senang digunakan, memberi kesan jangka panjang, sesuai bagi ibu yang menyusukan bayi dan tidak mempengaruhi hubungan seksual.
Risiko : Penambahan bulu di badan, kehilangan mineral tulang, ruam, sakit kepala, haid tidak teratur dan selera makan bertambah yang mana jika tidak dikawal akan menyebabkan kegemukan. Sesiapa yang mempunyai  sejarah keluarga penghidap kanser payudara tidak digalakkan mengambilnya.

c) Implan 
Apakah ia ? : Sejenis alat plastik kecil berbentuk rod yang mengandungi hormone sintetik progestin.
Cara berfungsi : Hormon dikeluarkan secara perlahan-lahan untuk mencegah ovulasi, menjadi lender serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma.
Cara penggunaan :  Rod implan dipasang di bawah kulit di bahagian pertengahan lengan dan dikeluarkan apabila genap 3 tahun.
Keberkesanan : berkesan hampir 100% .
Faedah :  Sangat berkesan, selamat, mudah, member kesan jangka panjang dan tidak mempengaruhi hubungan seksual.
Risiko : Haid tidak tetap kadang-kadang terlalu sedikit, keguguran rambut, penambahan berat badan dan sakit kepala. Kosnya antara RM 500- RM 700 di hospital swasta.

c) Alat dalam rahim

Apakah ia ? :  Sejenis alat kecil dimasukkan ke dalam rahim.
Cara berfungsi :  Menghalang persenyawaan, mencegah pelekatan janin pada rahim dan menghalang ovulasi.
Cara penggunaan : Alat ini dimasukkan ke dalam rahim pada hari ketiga haid dan dikeluarkan apabila genap 3 tahun.  
Keberkesanan : berkesan 97-98%
Faedah :  berkesan, selamat, tidak perlu kerap ke klinik dan jimat kos.
Risiko : kekejangan, sakit belakang, senggugut dan haid tidak teratur.

d) kondom
                                                         
Apakah ia ? : Sejenis getah lembut yang disarung pada zakar sebelum melakukan persetubuhan untuk mencegah kehamilan dan jangkitan seksual.  
Cara berfungsi :  menghalang sperma dari masuk ke dalam rahim
Cara penggunaan : kondom disarungkan ke zakar yang tegang dan dikeluarkan ketika zakar masih lagi dalam keadaan tegang selepas hubungan seks.
Keberkesanan : berkesan 75% sekiranya digunakan dengan betul dan konsisten.
Faedah : Senang digunakan, menghalang penyakit jangkitan seksual disamping mencegah kehamilan. 
Risiko : Risiko kebocoran dan dikhuatiri mendatangkan alahan dan iritasi kepada pasangan.

e) Kaedah pemandulan wanita (bilateral tubal ligation)
Apakah ia ? :  Sejenis kaedah pencegahan kehamilan yang kekal. Ia melibatkan pembedahan keil ke atas wanita di mana kedua-dua salur falopio diikat.
Cara berfungsi :  Menghalang pergerakan ovum ke salur falopio dan menghalang percantuman sprema dan ovum.
Cara penggunaan : Pembedahan yang ringkas.
Keberkesanan : berkesan 99%.
Faedah : Sangat berkesan, selamat, menghalang penyakit radang pelvik dan tidak mempengaruhi hubungan seksual.
Risiko : Tiada harapan untuk kembali hamil.

f) Kaedah pemandulan lelaki (vesectomy)                         

Apakah ia ? :  Kaedah kekal untuk menghalang kehamilan. Ia melibatkan pembedahan kecil pada lelaki di mana kedua-dua salur sperma lelaki diikat.
Cara berfungsi :  Ikatan pada salur sperma menyebabkan sperma tidak keluar bersama air mani dan seterusnya persenyawaan tidak berlaku.
Cara penggunaan : Pembedahan yang ringkas.
Keberkesanan :  berkesan 100%.
Faedah :  Sangat berkesan, selamat, memudahkan pasangan kerana tidak perlu mengamalkan kaedah konservatif yang lain dan tidak mempengaruhi hubungan seksual.
Risiko : Tiada harapan untuk mendapat zuriat.

3. Kaedah tradisional
Bidan kampong dan orang-orang tua zaman dahulu menggunakan herba untuk menjarakkan kehamilan. Menurut nenek saya, Wan Bidah Wan Muda, 84 tahun yang merupakan seorang bidan kampong mengatakan bahawa beberapa jenis herba seperti akar pokok kapal terbang berupaya menjarakkan kehamilan. Caranya ialah dengan mengeringkan akar pokok tersebut di bawah matahari dan meminum air rebusannya setiap hari. Daunnya juga dibuat jus. Ianya berupaya mengecutkan organ peranakan dan mengelakkan kehamilan daripada berlaku. 

Namun begitu, saya mengesyorkan cara yang lebih mudah dan selamat untuk anda menjarakkan kehamilan menggunakan herba iaitu dengan produk Griptite dan Maila keluaran Era Edar Marketing Sdn Bhd yang disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Diperbuat daripada herba terpilih termasuklah Kacip Fatimah, Bunga Patma, Rempah Gunung, Tutup Bumi dan sebagainya. Istimewa untuk mengatasi banyak masalah kaum wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum.
Anda juga boleh mencuba produk herba yang lain tapi pastikan produk tersebut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kesimpulannya, merancang kehamilan sebenarnya amat penting buat anda dan keluarga. Jadi, berbincanglah dengan suami dan pakar perubatan untuk menentukan kaedah yang paling sesuai dan selamat untuk kebahagiaan anda sekeluarga.