Bab 21 : Pintar Soleh

Hakikatnya, setiap pasangan mengharapkan anak-anak akan menjadi seorang yang cemerlang akalnya. Namun begitu soal akidah, ibadah dan akhlak juga perlu ditekankan agar ianya dapat memandu kecemerlangan akal menuju keredhaaan Allah. Apalah gunanya bijak, jika buruk akhlaknya. Tidak lengkap dengan berakhlak baik kecuali dengan kebijakannya. Pintar soleh atau dengan kata lain ilmu dan iman adalah upaya kita bagi merealisasikan tujuan penciptaan kita untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di muka bumi ini.  

Tiga tahun pertama usia anak, adalah usia keemasan untuk mendidik anak menjadi pintar soleh kerana otaknya berkembang dengan sangat pesat dan mereka sangat minat untuk belajar. Buktinya, Dr Montessori dari Itali berjaya memulihkan kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak. Dr Glenn Doman pula dapat memulihkan kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak tanpa melakukan pembedahan otak. Melihat keajaiban itu, Dato’ Dr Noor Laily Bt Dato’ Abu Bakar juga telah menubuhkan Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-kanak NURY sejak 1984 untuk membantu anak-anak sempurna dan istimewa menjadi anak-anak yang cemerlang.

Di  dalam kandungan
Otak bayi mula berkembang dari minggu kedua sehingga minggu kesebelas. Ibu yang hamil perlu rutin menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan, tidak mengambil ubatan, mengelakkan stress keterlaluan, tidak melakukan kerja berat, tidak mengambil makanan mentah, tidak menghidap campak atau sebarang penyakit terutama dalam 3 bulan pertama kehamilan. Hal ini kerana, bayi sangat berisiko untuk mengalami kecederaan otak (brain injured), cacat anggota dan lembam (mentally retarded). Berinteraksilah dengan bayi di dalm kandungan dengan bercakap dengannya, membacakan al-Quran dan buku cerita serta mendengarkannya rakaman muzik dan pelbagai aktiviti lain. 

Menjaga keselamatan otak 
Otak bayi dan kanak-kanak juga perlu tetap dijaga setelah lahir agar tidak tercedera. Pastikan bayi terhindar dari penyakit di bawah :
a) campak (rubela) : Campak boleh merosakkan sel-sel otak, merendahkan tahap IQ, menyebabkan lumpuh dan membawa maut.
b) demam panas : Bayi yang demam panas akan kejang dan mata terbeliak. Ia mampu menyebabkan lumpuh dan hilang ingatan kerana sel-sel otak telah rosak. Jika anak anda demam, pasti suhunya tidak terlalu tinggi dan tidak kejang. Basahkan kepala anak dengan kerap dan pakaikan pakaian yang nipis padanya.
c) Meningitis : penyakit ini akan menyerang selaput otak apabila anak tidak cukup zat makanan. Ia akan menyebabkan hilang ingatan atau kematian. Jadi,  pastikan bayi menyusu susu ibu terutama 6 bulan pertama dan ibu mengambil makanan berzat.
d) Kecederaan kepala :  elak kecederaan kepala bayi dengan tidak meninggalkan bayi di tempat tinggi, memakaikan tali pinggang keledar ketika di dalam kereta dan meletakkan alas lembut di bawah tempat memanjat anak. Kecederaan otak boleh dikesan menggunakan Electroencephalograph (EEG).
e) Racun plumbum (timah hitam) : Racun plumbum yang wujud dalam cat rumah, air lombong, asap kenderaan, sudu lama dan sebagainya amat berbahaya jika berkumpul dalam badan dan otak. Kesannya, pesakit akan mudah marah, sakit perut, cirit-birit, kejang atau kematian.
f) Dadah : elakkan memberi ubatan dari farmasi kepada anak. Ubat nyamuk juga perlu dielakkan. Jika anak demam selesema, adalah lebih baik memberikan vitamin C kepadanya atau ubat homeopati yang selamat daripada kandungan dadah.

Kasih sayang tanpa syarat
Anak adalah anugerah dan amanah Allah untuk kita bentuk menjadi manusia yang berjaya membawa misi khalifah dan beribadah di bumi ini. Sayangilah anak tanpa mengira kekurangan akal atau fizikal mereka kerana semuanya mempunyai keistimewaan tersendiri. Anak yang selalu diberi perhatian, disayangi dan dididik dengan baik akan menjadi anak yang cemerlang akal dan akhlaknya. Sedangkan anak yang tidak dipedulikan, selalu dimarahi dan dikawal ketat akan terbantut perkembangan akalnya. 

Ransangan
Semakin banyak ransangan diberikan kepada deria bayi, semakin banyak dendrite dan synapses bercambah, maka semakin cepat bayi belajar. Lakukan setiap aktiviti dengan gembira dan berhenti sebelum bayi terasa jemu dan bosan. Pengulangan dengan tulisan dan suara yang jelas akan menjayakan program ini.

1. Ransangan lahir – 6 bulan
a) bahasa 
“Dia menciptakan manusia, mengajarkannya pandai berbicara” (Ar-Rahman:3-4)
Ransang bayi dengan bercakap dalam pelbagai bahasa. Gunakan konsep One Parent One Language (OPOL) iaitu ayah bercakap dengan bayi menggunakan bahasa Melayu dan ibu bercakap dengan bayi menggunakan bahasa Inggeris. Anda juga boleh menggunakan konsep One Situation One Language (OSOL) di mana bercakap bahasa Arab ketika waktu makan dan bahasa Mandarin ketika mandi. Pastikan anda tidak bercakap pelat.

b) Intelek
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetaui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur” (An-Nahl:78)

“Dan Dia ajarkan pada Adam nama-nama benda semuanya” (Al-Baqarah:31)

Perkenalkan nama, sifat, rasa, bunyi dan bentuk barang-barang yang berada di sekeliling bayi. Lima benda setiap hari cukup untuk membantu bayi anda meneroka persekitarannya.

c) Hafalan al-Quran
Bacakan ayat-ayat al-Quran ketika hendak tidur dan ketika bayi hampir bangun dari tidur. Anda juga boleh memasang audio al-Quran semasa bayi sedang tidur.

d) Solat
Dekatkan bayi ke tempat anda solat dan perdengarkan bacaan solat kepadanya. Ciumlah bayi selepas anda solat agar dia merasa bahawa solat itu amat mengembirakan. Jika anda bimbang bayi meragam, mintalah seseorang menjaganya ketika anda solat. Tetaplah mendirikan solat walaupun anda sibuk mengurus si kecil dan kerja lain. Betapa pahala solat orang yang telah berkahwin lebih besar berbanding orang bujang.

e) Pergerakan
Tiarapkan bayi terutama sewaktu tidur. Pastikan tilam bayi tidak terlalu empuk agar bayi tidak lemas sewaktu ditiarapkan. Bayi yang ditiarapkan tidur lebih nyenyak kerana kurang terkejut apabila terdengar bunyi yang kuat, tidak tersedak ketika muak (muntah), bebas untuk bergerak kerana tidak dibedung dan menguatkan otot serta tulang bayi. Teruskan bayi sehingga mengesot dan merangkak silang.

f) Keseimbangan
Timang tinggi-tinggi hingga cucur atap,
Belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab.
Pantun Melayu juga bersetuju bahawa menimbang, melambung, membuai dan memusingkan bayi dapat membangunkan otak pada bahagian Medula Spinalis dan Medula Oblongata  yang melahirkan anak genius. Menurut Glenn Doman, berikan bayi peluang untuk mengesot dan merangkak silang kerana ia juga dapat memulihkan bayi yang mengalami kecederaan otak dan menjadikan bayi lebih genius. Elakkan penggunaan ‘walker’ yang menghalang bayi merangkak dan mengalami kecederaan fizikal dan mental.

2. Ransangan 6-12 bulan
Teruskan program sebelumnya. Galakkan bayi mencuba sesuatu yang baru dan mengelakkan perkataan “JANGAN”. Ajarkan bayi melakukan sesuatu dengan betul dan tegur dengan baik jika berbuat silap. Bacakan buku secara kuat.

3. Ransangan 12-18 bulan
Teruskan program sebelumnya. Biarkan anak meneroka sebanyaknya. Banyakkan melawat ke zoo, muzium dan sebagainya. Terangkan pada anak apa yang ditemui sepanjang jalan seperti jenis-jenis pokok, kenderaan, haiwan dan sebagainya.

4) Ransangan 1 ½ - 3 tahun
a) Membaca
Wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad saw ialah anjuran untuk membaca. Munurut Glenn Doman, sel-sel otak umpama bola-bola yang saling melekat, apabila sel otak membaca diransang, sel otak yang mengawal gerakan anggota akan turut teransang. Anda juga boleh memulakan sesi membaca menggunakan kad imbasan pada awal kelahiran bayi.

Sediakan kad berukuran 32cm x 10cm, maker bewarna merah atau hitam. Pastikan semua huruf adalah huruf kecil kecuali permulaan ayat. Tulisan perlu jelas pada pandangan bayi bagi meransang penglihatannya untuk membaca. 
            8cm { b, h, k,l              4cm { a, e, I, o, u   

Pastikan persekitaran untuk anda mengajar bayi membaca tidak mempunyai barang yang mampu menarik perhatiannya. Matikan semua alat yang mengeluarkan bunyi seperti tv dan radio. Glenn Doman mengajar bayi membaca secara menyeluruh (holistic) tanpa mengeja perkataan tersebut. Beliau tidak mengajar a, b, c kerana ia adalah abjad tanpa makna Jadi, pada hari pertama sebut perkataan yang ada pada kad tanpa mengejanya. Contohnya, tunjukkan kad bertulis mata, sebutkan mata dan tunjukkan mata anda. Biarkan bayi menyentuh matanya. Ulang 5 kali diselangi dengan bermain sebentar. Lakukan 4 atau 5 sesi setiap hari. 

Pada hari kedua, ulang seperti sebelumnya. Tapi pada sesi ketiga, tunjukkan kad mata pada bayi dan tanyakan mana mata. Jika dia berjaya menjawabnya, peluklah ia. Jika tidak, sambil tersenyum ucapkan “ini mata” padanya. Anak perlukan 3 hingga 7 hari untuk mengenal perkataan pada kad. Jika lebih 7 hari, rehat 7 hari sebelum melakukan proses yang sama. Setelah bayi mengenal perkataan mata, tukarkan kepada perkataan mulut pula. Bila dia sudah mengenal perkataan mulut, minta dia menunjukkan mana kad mata dan mana kad mulut. Anda boleh menambah lima kad dalam satu sesi apabila anak sudah mahir dengan konsep ini. Layari Youtube untuk melihat video mengajar bayi membaca.

Namun begitu, selain kaedah Glenn Doman anda boleh memilih untuk menggunakan kaedah membaca yang lain seperti mengeja atau kaedah fonetik.

b) belajar matematik
Belajar matematik juga akan meransang gerakan anggota. Matematik adalah suatu kemestian dalam kehidupan. Ramai ilmuan islam yang memberi sumbangan dalam bidang matematik.

Sediakan kad berukuran 250mm x 250mm dengan dot merah berdiameter 20mm. Pada usia bayi, hanya dakwat hitam dan merah yang jelas kelihatan pada pandangannya. Ajarkan anak nilai mutlak sesuatu nombor iaitu 1 dot mewakili 1. Tuliskan dot di bahagian hadapan secara rawak 1 hingga 10 dan di belakang jumlah dot tersebut.

Tunjukkan pada anak secara cepat dot 1-10 sambil menyebut bilangan dot tersebut. 30 saat setiap sesi. Pastikan anda memeluk dan memuji anak selepas habis setiap sesi. Pada hari ketiga,  tunjukkan dengan cepat dot tersebut dalam susunan rawak. Pada hari keenam, tukar kad dot 1 dan 2 kepada kad dot 11 dan 12. Begitulah seterusnya.

c) Kenal bentuk
Lukiskan bentuk 2 dimensi seperti bulatan, segi empat sama, segi empat tepat, segitiga dan sebagainya atas kad berukuran 25cm x 25cm dengan dakwat merah atau hitam. Gunakan kaedah mengajar matematik. Lanjutkan dengan bentuk tiga dimensi seperti kiub, pyramid dan sebagainya.

d) kreatif
Permainan lego, plastisin dan warna dapat membina kreativiti anak. Pastikan anda menentu mana mainan individu dan berkumpulan.

e) Hakikat masa, jarak, berat, isipadu
Biarkan anak memegang berat 1kg gula dan katakan padanya ia berat 1kg gula. Tambah berat kepada 2kg dan sebagainya. Kenalkan anak pada isipadu 1 liter, penggunaan masa dan berapa jarak dari rumah ke taska dan sebagainya. Hasilnya, anak dapat mengagak dengan tepat berat objek dan semua yang biasa dialaminya.

f) Persiapan fizikal dan keseimbangan
Teruskan aktiviti timang, hayun, mengesot, merangkak silang, bergayut, berjalan dan berlari. Meniti kayu selebar 10cm dan berbasikal dapat meningkatkan daya imbangannya.

g) Berdikari
Ajarkan anak untuk memakai pakaiannya, mandi, buang air dan makan sendiri. Ibubapa perlu sabar sebelum anak mahir untuk berdikari. Elakkan memarahi mereka apabila kencing malam, makan bersepah dan sebagainya kerana mereka sedang belajar untuk menjadi sempurna. Ajar mereka dengan kasih sayang dan penuh kemaafan.

h) Solat
Anak sudah mula boleh dibelikan kelengkapan solat seperti kain telekung, kopiah dan sejadah untuk menjadi makmum. Ajarkan anak cara solat, adab dan bacaan solat. Bawalah mereka ke surau jika memungkinkan. Ia pasti menyeronokkan.

4. Ransangan 3-6 tahun
a) bahasa
Anak-anak akan banyak bertanya pada anda tentang persekitarannya. Jadi, jawaplah dengan jawapan yang benar. Jika anda tidak tahu, beritahu anak yang anda tidak tahu dan cari jawapannya bersama-sama. Dia mula menyukai ayat-ayat baru dan kemudian meniru percakapan anda. Teruskan konsep OPOL dan OSOL.

b) Tanggapan
Kenalkan pada anak, mana anggota kanan dan kiri ketika makan dan memakai pakaian. Latih anak untuk makan dengan tangan kanan dan membasuh kemaluan dengan tangan kiri. Masukkan barangan ke dalam beg dan minta dia teka barang yang disentuhnya. Minta dia asingkan kertas mengikut bentuk dan tanyakan gambar yang dilihatnya.

c) Membaca 
Gabungkan perkataan menjadi ayat. Beli buku jika anak sudah mampu membaca.

d) Belajar matematik
Nyatakan masa dan jarak perjalanan, harga dan kuantiti barang yang dibeli di pasar. Anak juga sudah boleh mula menabung.

e) Sains
Buatkan eksperimen tentang ketumpatan bahan, sifat air, gas dan pepejal. Cari jawapan bersama jika tidak tahu.

f) Konsep
Ajarkan konsep pengangkutan darat, air dan udara. Konsep jual beli seperti harga dan baki belian. Konsep peta seperti pelan rumah, jalan dan negeri.

g) Hafazan Al-Quran
Teruskan dengan memperdengar bacaan al-Quran pada anak. Potong ayat menjadi pendek supaya senang dihafaz.

h) Geografi
Lukiskan bendera negeri dan negara pada kad berukuran 25cm x 25cm dan ajarkan pada anak menggunakan kaedah membaca. Kenalkan nama ibu negeri, ciri-ciri topografi, iklim dan tanaman.

i) Sejarah dan sirah
Bacakan pada anak buku sirah nabi dan sejarah Malaysia. Ambillah pelajaran daripada sejarah lalu.

j) Sistem
Ajarkan anak juzuk-juzuk kecil pada enjin kereta, komponen motor, sistem tubuh manusia, sistem bahagian pokok dan sebagainya.

k) Pergaulan
Ajarkan anak tentang adab bersama orang tua dan rakan sebaya. Batas-batas pergaulan, menutup aurat dan sebagainya.

l) Persiapan fizikal
Dedahkan pada anak cara untuk berenang, memanah (lastik pun boleh) dan menunggang kuda (berbasikal pun boleh) 

Tambahkan pengetahuan anda berkaitan mendidik anak pintar soleh dengan membaca buku seperti :
a) Cara Nabi Mendidik Anak
b) Pendidikan Anak Dalam Islam,Abdullah Nasih Ulwan
c) Ke arah Pembentukan Kanak-kanak, Riza Atiq OK Rakmat
d) How Smart Is Your Baby, Glenn Doman dan Janet Doman
e) How To Teach Your Baby To Read, Glenn Doman dan Janet Doman
f) Brain Child : How Smart Parent Make Smart Kids, Tony Buzan
g) Nota Kursus NURY
h) Cara-cara Berenang dan Terjun, Hendry Marlow

Jika anda mempunyai anak simdrom down dan istimewa, sertailah kumpulan sokongan berkaitan yang berdekatan dengan anda. Kerajaan menyediakan banyak kemudahan untuk golongan ini. Jika anda bersungguh-sungguh untuk memulihkan anak sindrom down, disleksia, autism dan sebagainya, kunjungilah program NURY di Bukit Antarabangsa, Selangor.