Anda tentunya akan membawa bayi anda bersama jika pulang bercuti di kampong, membeli-belah, melawat saudara-mara dan sebagainya. Jom kita lihat, apa yang perlu anda pertimbangkan jika ingin membawa bayi bersama anda.
Doa
Selalulah berdoa dengan doa menaiki kenderaan dan doa di atas sebelum anda memulakan perjalanan jauh atau dekat kerana Allah akan mengirimkan malaikat untuk menjaga kita sepanjang perjalanan sehingga kita sampai kembali ke rumah dengan selamat. Apa-apa sahaja akan berlaku di jalanan, maka jangan lupa berdoa.
Jarak dan tempoh masa
Jika jarak ke tempat tersebut dekat dan tempoh masanya agak singkat seperti ke pusat membeli, anda hanya perlu membawa sekeping ‘diapers’, tisu basah, selimut dan kain sapu tangan untuk mengelap muak bayi. Pakaikan bayi pakaian yang sesuai dengan suhu persekitaran yang akan dilaluinya. Sebagai contoh, pakaian baju lengan panjang dan seluar panjang lebih sesuai untuk bayi jika ke pusat membeli-belah kerana penyaman udaranya agak sejuk terutama pada waktu malam.
Jika jaraknya jauh dan tempoh masanya agak panjang seperti balik kampong, maka anda perlu menyiapkan semua peralatan dan pakaian yang akan dipakai oleh bayi anda dalam tempoh masa tersebut.
Kenderaan
a) Kenderaan sendiri
Anda juga perlu mempertimbangkan kenderaan yang akan anda naiki. Jika anda sendirian memandu kereta bersama bayi, letakkan bayi ke dalam kerusi bayi di sebelah tempat memandu. Jika anda sendirian menaiki motosikal bersama bayi, letakkan bayi anda di dalam ‘baby carrier’.
Jika ada orang lain yang memandu, pihak polis memberi kelonggaran untuk anda mendukung bayi tanpa memakai tali pinggang keledar walaupun berada di sebelah pemandu.
b) kenderaan awam
Secara amnya, anda pasti akan mendapat tempat duduk walau sepadat mana pun kenderaan awam yang akan anda naiki jika anda membawa bayi bersama. Pastikan anda membawa selimut tebal untuk bayi anda jika menaiki bas ekspress, keretapi atau kapal terbang untuk perjalanan jauh terutama jika waktu malam. Sebaiknya, bawalah seorang teman jika anda ingin berjalan jauh kerana dia amat membantu untuk menjaga bayi anda terutama saat anda ingin ke bilik air atau solat. Bayi yang menaiki kapal terbang disarankan untuk menyusu atau menghisap puting ketika kapal terbang akan meluncur ke udara dan saat ia ingin mendarat bagi mengelakkan telinga berdengung.
Jika ada yang menyapa
Percaya atau tidak, bayi dapat melihat hantu dan sebagainya dengan izin Allah. Jadi, banyakkan membaca atau memasang audio ayat-ayat al-Quran sepanjang perjalanan anda. Jika bayi menangis dengan nada yang kuat dan tidak berhenti-henti setelah anda mencuba pelbagai cara untuk menenangkannya. Matanya tertutup rapat dan air matanya mengalir atau matanya merenung tajam ke arah anda dan saat itu bulu roma anda mula meremang maka bacakan surah al-Ikhlas, al-falaq, an-nas, ayat kursi dan ayat seribu dinar. Tiupkan pada ubun-ubun bayi tersebut. Jika anda berada di rumah campurkan segenggam beras, sesudu teh serbuk kunyit dan sesudu besar lada hitam. Bacakan ayat-ayat tadi dan hembus pada campuran tadi. Campakkan pada bayi dan keseluruhan tempat dan halaulah hantu tadi dengan seizin Allah. Biasanya bayi akan kembung kerana menelan angin sewaktu menangis, jadi urut betis dan tapak kaki bayi dengan minyak bayi.
Petua orang tua-tua agar meletakkan surah yasin di tempat tidur bayi, menutup tingkap dan pintu sebelum waktu maghrib, tidak berjalan malam bersama bayi terutama waktu maghrib, dan tidak ke rumah yang mempunyai bayi pada waktu malam.
Sesungguhnya Allahlah yang mencipta sekalian makhluk dan Dia jualah yang menguasainya. Jadi, selalulah memohon perlindungan-Nya.