Bab 3 : Tips Memilih Hospital Untuk Bersalin


Mungkinkah anda buntu untuk memilih hospital untuk bersalin ? Sebenarnya, anda mampu merancang bersama pasangan untuk melahirkan bayi anda di hospital yang anda inginkan berdasarkan pertimbangan berikut:

a) kos 
Hospital kerajaan lebih murah kosnya berbanding swasta. Anda juga akan diberi pengecualian bayaran atau diskaun jika anda atau suami adalah dari golongan OKU, mendapat bantuan kebajikan dari kerajaan atau golongan kakitangan kerajaan. Dari segi kos, hospital kerajaan adalah cara terbaik untuk anda berjimat.

Walaupun kos bersalin di hospital atau klinik swasta agak mahal berbanding hospital kerajaan anda masih boleh bersalin di sana jika anda mampu untuk membayarnya. Jika klinik swasta tersebut adalah klinik panel syarikat anda atau suami bekerja, pastikan syarikat akan menanggung kos bersalin anda sebelum anda memutuskan untuk berbuat demikian. 

b) keselesaan dan kemudahan
Anda juga boleh memilih hospital yang menyediakan penyambut kelahiran yang terdiri daripada jururawat dan doktor perempuan sahaja dan pelbagai keselesaan lainnya seperti layanan, kemudahan fasiliti dan kepadatan wad bersalin. Jika anda dan bayi mempunyai masalah seperti bayi sonsang, ibu sakit jantung, darah tinggi dan diabetis, maka hospital besar yang mempunyai kepakaran untuk menangani sebarang komplikasi sewaktu kelahiran adalah pilihan yang perlu anda pertimbangkan. 

c) jarak dari tempat kerja & tempat bakal berpantang
Anda juga perlu mempertimbangkan jarak dari rumah atau tempat kerja ke hospital bersalin kerana kelahiran boleh terjadi bila-bila masa. Anda juga boleh merancang untuk bersalin di hospital yang dekat dengan tempat anda bakal berpantang.

d) kenderaan
Sila pastikan juga, kenderaan yang bakal menghantar anda ke hospital. Jika anda tidak mempunyai kereta sendiri, pastikan anda memaklumkan pada pihak klinik kesihatan anda untuk menggunakan khidmat ambulans lebih awal.

Dapatkan maklumat yang anda perlukan berdasarkan beberapa kriteria tadi melalui mereka yang terlibat. Duduklah berbincang dengan suami anda untuk memilih hospital yang terbaik untuk anda melahirkan bayi yang comel ini.