Bab 4 : Bilakah Waktu Bersalin ?

Tarikh jangkaan bersalin ditetapkan oleh jururawat melalui 2 kaedah iaitu :

a) tarikh hari pertama haid terakhir (LMP) anda


Ketika anda mendaftarkan kandungan anda di klinik kesihatan, jururawat akan mengesahkan bahawa anda benar-benar hamil dan menulis tarikh hari pertama haid terakhir (Last Menstrual Period – LMP). Kaedah ini dikenali sebagai Peraturan Naegele. Mengikut kiraan Naegele, anda dijangka bersalin selepas sembilan bulan tujuh hari daripada tarikh yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, sistem kiraan ini hanya bersandar kepada jangkaan. 

Kiraan hanya akan jadi tepat sekiranya kitaran haid anda ialah 28 hari dan hari subur anda adalah pada hari ke-14. Di sini, biasanya masalah akan timbul apabila tidak semua wanita melalui kitaran haid yang sama setiap bulan. Jadi, anda mesti mencatat atau menandakan tarikh haid anda setiap bulan sama ada dalam kalendar, diari atau buku catatan terutama apabila anda tidak menggunakan sebarang kaedah pencegah kehamilan.

Tarikh boleh diramalkan dengan mengira ke hadapan 40 minggu (280 hari) dari hari pertama haid terakhir. Ini berdasarkan kenyataan bahawa persenyawaan berlaku dua minggu selepas hari pertama haid. Mengikut kiraan ini, anda diramalkan untuk membawa kandungan selama 38 minggu.

Sebagai contoh, tarikh haid terakhir (LMP) anda ialah daripada 1 Jan 2012 hingga 7 Jan 2012, maka hari pertama LMP anda ialah pada 1 Jan 2012. Tambahkan 9 bulan 7 hari dari tarikh tersebut.

Maka bayi anda dijangka akan dilahirkan pada 8 Oktober 2012. Tapi jika hari pertama pada bulan April hingga Disember. Maka anda perlu menolak 12bulan dan menambah 1 tahun kerana bayi akan dilahirkan pada tahun berikutnya. Contohnya tarikh hari pertama LMP anda pada 1 April 2012.

Maka bayi anda akan dilahirkan pada 8 Jan 2013.

 b) ukuran janin melalui ujian imbasan 

Anda juga akan diminta untuk menjalani ‘ultrasound’ untuk jururawat mengukur panjang janin anda bagi mengetahui waktu bersalin anda. Kebiasaannya jika tarikh jangkaan ultrasound berbeza kurang dua minggu berbanding tarikh berdasarkan  kitar haid, maka tarikh berdasarkan kitaran haid akan diambilkira. 

Penetapan tarikh kelahiran adalah satu langkah untuk anda bersiap sedia menyambut bayi baru dan memudahkan pihak hospital mengesan bayi yang lahir tidak cukup bulan dan mempercepatkan kelahiran jika bayi belum lahir setelah lewat 2 minggu dari tarikh yang dijangkakan.

Walaubagaimana pun, bayi anda mungkin lahir sebelum tarikh tersebut, semasa tarikh tersebut atau selepas tarikh tersebut bergantung kepada kondisi bayi dan ibu.