a) rahim yang semakin menurun
Pada hari-hari terakhir anda mengandung, rahim akan semakin menurun disebabkan gerakan kepala bayi menuju saluran kelahiran. Anda akan merasa kontraksi di mana otot-otot rahim akan menegang dan mengendur untuk melatih otot tersebut sebelum waktu kelahiran yang sebenar.
b) sakit kuat yang datang dengan kerap dalam sela masa yang pendek.
Kontraksi tersebut akan bertambah kuat dan kerap dalam sela masa yang pendek. Kontraksi ini akan semakin kuat sehingga anda akan berpeluh menahan kesakitan. Ini kerana otot rahim mendorong kepala bayi lebih jauh ke dalam salur kelahiran. Jika ini terjadi, anda perlu segera dikejarkan ke hospital.
c) keluar darah (show)
Anda juga akan mendapati kesan darah pada seluar dalam anda. Ia adalah tanda normal yang menunjukkan bahawa pintu rahim telah terbuka untuk proses kelahiran.
d) air ketuban pecah
Anda juga akan mendapati cairan bening yang panas dan berbau hanyir akan keluar dari faraj secara tiba-tiba. Ini menunjukkan selaput air ketuban telah pecah dan bayi sebolehnya perlu cepat dilahirkan sebelum lemas dalam kandungan. Dalam kes-kes terpencil, air ketuban keluar melalui faraj sedikit demi sedikit sebelum waktunya sehingga mengurangkan kandungan air ketuban dalam rahim anda. Dalam kes ini, bayi perlu dilahirkan segera sebelum kelemasan. Air ketuban yang berwarna hijau menunjukkan bahawa bayi sudah pun membuang najisnya sebelum dilahirkan. Pembuangan najis (meconium) ini mungkin disebabkan oleh bayi yang lemas atau bayi yang terlebih matang.
e) kerap membuang air besar
Anda juga mungkin berasa kerap untuk membuang air besar.
Tanda-tanda ini tidak semestinya datang secara turutan seperti di atas tetapi salah satu mungkin datang terlebih dulu atau mereka muncul secara serentak. Bersiaplah ke hospital dengan segera terutama ibu muda kerana anda belum berpengalaman mengagak apa yang bakal terjadi seterusnya. Proses kelahiran mungkin mengambil masa yang berbeza mengikut bukaan servik, kondisi bayi dan ibu.
Apabila anda mengalami tanda-tanda di atas, anda juga dinasihatkan tidak memakan makanan sebelum ke hospital. Keadaan ini penting kerana makanan yang dimakan sewaktu kesakitan dalam proses bersalin tidak dapat dihadamkan dengan baik. Proses penghadaman dan penyerapan makanan berlaku dengan lambat sekali apabila seseorang berada dalam kesakitan proses bersalin.
Ada juga salah faham mengenai cara mendapat tenaga untuk meneran apabila seseorang ibu itu makan sewaktu sakit untuk bersalin. Pemakanan yang tidak hadam boleh membahayakan ibu jika kelahiran dibuat secara pembedahan atau ada komplikasi yang memerlukan pembiusan umum (general anaesthesia).