Bab 6 : Tips Mudah Bersalin

Bersalin adalah proses alami bagi wanita yang hamil. Tentu anda pernah mendengar pelbagai kisah tentang pengalaman bersalin orang lain dan mungkin anda sendiri. Bagaimanakah anda ingin mempermudah proses kelahiran yang bakal anda hadapi nanti ? Di sini, saya ingin berkongsi tips mudah bersalin bersama anda. Kita sekadar berusaha, Allahlah yang menjayakannya.

a) Jaga kesihatan diri dan bayi
Bermula saat anda disahkan hamil, anda perlulah menjaga kesihatan diri dan bayi. Amalkan pemakanan yang seimbang, senaman ringan dan banyakkan minum susu kerana anda akan mengalami sakit gigi akibat kalsium anda yang akan digunakan untuk tumbesaran bayi. Jagalah kebersihan gigi dan diri. Pastikan anda menghadiri temujanji anda dengan jururawat kesihatan setiap bulan. Jangan terlupa untuk mengambil vitamin dan asid folik yang dibekalkan kepada anda setiap hari. Kekurangan asid folik akan menyebabkan tumbesaran bayi kurang sempurna yang boleh menyebabkan kecacatan.

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor jika anda mengalami tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetis, HIV dan sebagainya. Elakkan mengambil ubatan dan herba yang tidak dicadangkan oleh pihak hospital serta makanan dan minuman ringan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada bayi anda.  

b) Posisi tidur yang sama rata
Pastikan anda tidak kerap tidur mengiring sebelah kanan atau kiri sahaja tapi perlu menyamaratakan kekerapannya supaya bayi tidak terperosok ke posisi yang anda biasakan. Sebagai contoh, jika anda kerap tidur mengiring sebelah kanan, maka anak akan terperosok ke sebelah kanan anda. Jika keadaan ini berlarutan, kepala bayi mungkin tersangkut di celah paha dan sukar untuk dilahirkan secara normal.  Ia amat penting pada usia kandungan 7 bulan ke atas.

Jika anda mengurut dengan tangan anda pada bahagian bawah perut bahagian kiri dan kanan, anda akan merasakan salah satu bahagian agak mengeras. Bahagian mengeras itulah kawasan yang didominasi oleh bayi anda. Untuk memulihkannya, banyakkan mengiring ke sebelah bertentangan dan urutan daripada 'bidan berpengalaman' untuk membetulkan posisi bayi adalah digalakkan. 

c) Urutan membetulkan posisi bayi
Urutan membetulkan posisi bayi hanya boleh dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman agar tidak mencederakan bayi anda. Jika tiada bidan yang berpengalaman, cukuplah dengan mengurut bahagian betis dan paha bagi membetulkan kedudukan bayi anda. Anda boleh bertanya kepada doktor berkaitan posisi bayi anda ketika melakukan ujian imbasan (ultrasound) ketika usia kandungan lapan bulan. 

c)  'bersama' suami
Anda dan pasangan boleh ‘bersama’ sebelum tanda-tanda kelahiran timbul pada tarikh jangkaan kelahiran. Air mani suami mengandungi prostaglandin yang membantu rahim terbuka. Ia juga bertindak sebagai ubat pencetus (induce) yang digunakan untuk membuka pangkal rahim. Anda juga boleh ‘bersama’ sepanjang waktu kehamilan jika tiada komplikasi yang kurang baik kepada ibu dan bayi. Pilihlah posisi yang lebih selesa bagi anda dan pasangan.

d) meminta maaf dan doa
Anda juga digalakkan untuk meminta maaf dengan orang terdekat terutama suami dan ibubapa dan meminta mereka untuk mendoakan keselamatan anda melahirkan bayi. Doa ibubapa adalah antara doa yang cepat dimakbulkan oleh Allah. Selain itu, anda boleh membuat solat hajat atau membuat majlis solat hajat untuk memudahkan kelahiran.

e) buang air kecil dan besar
Anda dinasihatkan untuk membuang air kecil dan besar sebelum bersalin agar bayi dapat dilahirkan dengan mudah. Jika tidak, anda mungkin terbuang air besar ketika meneran nanti. Jururawat juga akan menyedut keluar air kencing anda menggunakan tiub ketika di wad bersalin. Jika anda mengalami masalah sembelit, dapatkan ubat pelawas daripada doktor. Ini kerana, sembelit akan menghalang kepala bayi untuk keluar.

g) mencukur bulu ari-ari
Pastikan juga anda mencukur bersih bulu ari-ari(kemaluan) anda untuk memudahkan jururawat menyambut kelahiran bayi anda. Jika tidak, jururawat akan membantu anda melakukan perkara tersebut. Tapi lebih sopan jika kita bersihkan sendiri.

h) Menggentel puting payudara
Menggentel puting payudara dapat mempercepatkan bukaan servik. Jururawat juga menyarankan anda melakukannya di saat-saat hendak bersalin bagi membantu proses kelahiran. 

i) berjalan
Senaman seperti berjalan amat sesuai untuk melonggarkan otot pelvik bagi membantu kelahiran. Berjalanlah sekitar taman permainan atau menaiki tangga setingkat dua di pejabat anda. Jangan jadikan hamil sebagai alasan untuk anda tidak bersenam dan jangan pula bersenam secara berlebihan sehingga anda kepenatan.

j) minum teh
Theanine yang terkandung dalam teh dapat membantu mempercepatkan pembukaan servik. Cukuplah dengan minum secawan teh sehari. Namun, teh yang dicadangkan adalah teh hijau. 

k) minyak selusuh dan air selusuh
Selusuh adalah sinonim dengan orang yang akan bersalin. Biasanya, selusuh menggunakan bahan seperti minyak, air, kurma atau kismis. Minyak yang biasa dipakai ialah minyak kelapa dara yang dibuat sendiri, minyak zaitun atau minyak masak biasa. Air yang digunakan sebaiknya air zam-zam, jika tiada anda boleh menggunakan air mineral atau air masak. Jika anda menggunakan kismis dan kurma pula, pastikan bilangannya dalam kiraan yang ganjil iaitu satu, tiga, lima atau tujuh.

Minyak selusuh hanya boleh diminum saat anda sudah sampai masa untuk bersalin sahaja. Sedangkan air selusuh boleh diminum sepanjang masa kehamilan. Ia membantu mempercepatkan kelahiran bayi dengan izin Allah. Air dan minyak ini dibacakan dengan ayat-ayat di bawah. 


Cara A
1. Al Fatihah
2. Surah al Hasyr ayat 21

3. Selawat Syifa (Penyembuhan)

4. Bacakan doa : "Ya Allah, dengan hak Maryam dan dengan hak mereka yang diturunkan kepadanya Surah Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama ibu yang hamil berbintikan ibunya) sakit bersalin dengan rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rahmat". Kemudian ditiup pada air atau minyak dan perlu diminum tujuh hari sebelum tarikh jangkaan bersalin.

5. Sapukan air atau minyak di perut ibu dari atas ke bawah dengan bacaan selawat (7 kali)

6. Minyak selusuh perlu diminum sebanyak satu sudu apabila terasa sakit hendak bersalin.

Cara B
1. Beristighfar (3 kali)
2. Menghadiahkan bacaan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan para pengikutnya.
3. Al Fatihah (1 kali)
4. Selawat (11 kali)
5. Alam Nasyrah (7 kali)
6. Al-Ikhlas (3 kali)
7. Al Falaq (3 kali)
8. An Naas (3 kali)
9. Al Fatihah (1 kali). 
10. Kemudian berdoa apa yang dihajati.

Cara C
1. Al Fatihah. Apabila sampai di ayat 5, lintaskan di dalah hati memohon dimudahkan bersalin sebanyak tiga kali.
2. Selawat Syifa (7 kali)  
3. Surah al Hasyr, ayat 21 (3 kali)  
4. Surah al-A'raf ayat 54 (3 kali)

5. Hembus pada air, minyak atau kurma. 

Tiada salahnya berusaha selagi tidak mencampurkan dengan unsur -unsur mensyirikkan Allah. Ingatlah bahawa, semuanya hanyalah usaha dan yang mempermudahkan itu tetap Allah.