Bab 7 : Saat-saat di bilik bersalin


Bila saat bersalin anda rasa hampir tiba, pastikan badan anda bersih, bulu ari-ari dicukur untuk mengelakkan jangkitan kuman dan membuang air kecil dan besar bagi memudahkan bayi keluar kerana usus besar dan kecil berada pada pinggul. Jika anda mempunyai anak yang lain pastikan anak tersebut dijaga oleh pengasuh /jiran/ibubapa dan rumah berkunci. Bawa beg anda dan bayi yang telah disiapkan sebelum ini. Jika anda menggunakan kenderaan sendiri, pilihlah jalan yang kurang sesak dan jalan pintas. Jika anda menggunakan ambulan, pastikan anda menempahnya lebih awal.

Setelah tiba di hospital, buat pendaftaran bersalin di bahagian pendaftaran (siang) atau bahagian kecemasan (malam) menggunakan buku pemeriksaan mengandung dan kad pengenalan.  Anda akan dihantar ke bahagian menunggu  dan dibaringkan. Saiz bukaan servik dan tahap kontraksi anda akan diperiksa oleh jururawat. Anda juga perlu menjawab beberapa soalan berkaitan yang akan disoal pada anda seperti :
 a) nama dan alamat tempat tinggal ?
 b) pernah mengambil sebarang herba sebelum datang ke hospital atau tidak ?
 c) melahirkan anak sulung atau ke anak berapa ?
 d) jika pernah melahirkan : di hospital mana ?

Jururawat akan meminta sepasang baju bayi, sekeping diapers dan sehelai kain lampin untuk dipakaikan pada bayi bakal lahir pada suami atau waris yang hadir. Jika masa kelahiran sangat hampir, anda akan dibawa ke bilik bersalin dengan kerusi roda atau katil beroda.

Di bilik bersalin, anda diminta menukar pakaian anda. Jangan terkejut jika anda hanya memakai sehelai baju putih tanpa pakaian dalam. Semua pakaian anda tadi akan dimasukkan ke dalam plastik dan akan diserahkan kepada anda selepas keluar dari bilik tersebut. Kemudian anda akan diminta berbaring mengiring ke kiri di atas katil. Anda dinasihatkan untuk mengikut arahan jururawat dan doktor kerana mereka lebih arif dengan keadaan anda waktu tersebut dan mereka cuba membantu sebaik mungkin walaupun anda akan berasa agak dileteri dalam suasana yang agak tegang ini. Adalah sangat beruntung jika semua yang bersama anda di bilik bersalin adalah wanita kerana anda akan berasa sedikit kebebasan.

Anda akan ditanya samaada ingin suami bersama anda di bilik bersalin atau tidak. Jika suami tidak dapat hadir, janganlah berkecil hati kerana Allah selalu ada untuk membantu anda. Anda juga akan ditanya jika pelatih lelaki dibenarkan untuk sama-sama menyaksikan kelahiran anak anda. Air kencing anda akan disedut menggunakan tiub dan bulu ari-ari akan dibersihkan jika anda belum membersihkannya.

Jika air ketuban belum pecah, doktor akan meminta anda mengangkangkan peha untuk memecahkan air ketuban tersebut. Anda akan berasa air panas mengalir keluar dari saluran peranakan anda. Kontraksi anda akan berulang dengan jarak yang sangat dekat dan agak menyakitkan. Bagi mengurangkan kesakitan tersebut, anda akan dibekalkan dengan ubat tahan sakit atau ubat yang disedut jika masa bersalin sudah sangat hampir untuk mengurangkan kesakitan akibat kontraksi. Jika anda bersama suami, suami perlu bertindak menenangkan isteri dan memberi motivasi bahawa isteri mampu melahirkan anak dengan selamat. Banyakkan berdoa pada Allah agar dipermudahkan kelahiran ini. Tarik nafas sedalam mungkin dan hembus perlahan-lahan.

Jika kepala bayi mulai kelihatan di bukaan servik anda dan anda berasa sangat sakit, doktor akan mengarahkan anda untuk mengangkangkan kaki. Pegang pergelangan kaki dengan kedua-dua belah tangan dan pastikan anda tidak sekali-kali mengangkat punggung ketika meneran kerana ia akan menyebabkan koyakan yang besar pada servik anda. Doktor biasanya menggunting sedikit bahagian pintu rahim untuk memberi laluan yang cukup untuk bayi keluar daripada membiarkannya terkoyak sendiri. Inilah yang dinamakan episiotomi.

Tarik nafas sedalam mungkin dan teran keluar bayi anda sekuat-kuatnya sambil mengangkat kepala ke arah perut anda. Teruskan mengambil nafas dalam dengan cepat untuk terus meneran.  Jika anda mengambil sela masa yang lama untuk mengambil nafas, bayi akan kembali tersedut ke dalam. Jadi, teruskan meneran sehingga bayi keluar walaupun sesakit mana pun anda deritai kerana penderitaan itu akan berakhir sebaik sahaja bayi dapat dikeluarkan dari rahim anda.

Kelahiran normal biasanya akan membolehkan bayi mengeluarkan kepala, bahu hingga ke kaki. Tugas anda hanya membantu bayi mengeluarkan sebahagian kepalanya dan doktor akan menarik keluar bahagian bayi yang lain. Jika doktor gagal mengeluarkan bayi secara normal, alatan seperti vacum dan forsep akan digunakan dengan keizinan daripada anda. 

Sebaik sahaja bayi keluar, tali pusat bayi akan dipotong dan dia akan dibersihkan atau dipeluk oleh anda sebelum ia dibersihkan.Tembuni bayi dan semua darah beku akan dikeluarkan dari rahim anda. Episiotomi tadi dijahit dan akan sembuh selepas seminggu. Pastikan jahitan ini tidak koyak akibat aktiviti lasak anda kerana jahitan kali kedua sangat menyakitkan. Jururawat akan memakaikan pad bertali pada anda yang perlu ditukar sebaiknya sebelum 6 jam. Anda juga perlu menjawab beberapa soalan jururawat yang sedang mengisi borang kelahiran anak tersebut.

Selepas semuanya selesai, anda diminta untuk menukar pakaian bersalin kepada pakaian wad yang biasanya berwarna pink. Anda dan bayi akan dibawa masuk ke wad menggunakan kerusi roda atau ditolak di atas katil. Anda juga akan diberi minum milo sementara menunggu waktu makan. Terus susukan anak anda secepat mungkin untuk merangsang pengeluaran susu dan mengelakkan jaundis(demam kuning) pada bayi. Mintalah bantuan jururawat untuk mengajar anda cara penyusuan yang betul. Jangan lupa untuk meminta suami mengazankan anak lelaki dan iqamah untuk anak perempuan secepat mungkin. Semoga anak tersebut selamat dari godaan syaitan. Amin.