Bab 11 : Panduan Pendaftaran Kelahiran


Bincangkan nama yang terbaik untuk anak anda dan isikan borang pendaftaran yang diberikan oleh pihak hospital jika anda bersalin di hospital. Sekiranya anda bersalin di luar hospital (di rumah atau dalam kenderaan), anda perlu mengambil borang pendaftaran ini di Jabatan Pendaftaran Negara yang berdekatan dengan anda.

Pastikan anda mendaftarkan kelahiran bayi anda secara percuma dalam masa 7 hari selepas kelahiran supaya anda tidak didenda. Pendaftaran lewat akan dikenakan denda berdasarkan bilangan hari yang lewat.

Sila bawa dokumen berikut untuk pendaftaran kelahiran bayi anda:
a) borang pendaftaran yang lengkap
b) kad pengenalan anda dan pasangan (dokumen asal dan salinan fotostat)
c) surat nikah anda dan pasangan (dokumen asal dan salinan fotostat)
d) buku pemeriksaan kandungan (buku asal dan salinan fotostat hadapan buku dan Bahagian E: Perihal Kelahiran)
Jika pendaftar bukan ibubapa kepada bayi, sila bawa kad pengenalan dan salinan ke JPN.

Sijil kelahiran akan terus diperolehi pada hari tersebut. Sila semak data pada Sijil Kelahiran anak anda agar tiada kesilapan semasa menaip data tersebut sebelum meninggalkan kaunter. Sarung plastik Sijil Kelahiran boleh dibeli di kaunter JPN jika anda memerlukannya. 

Mykid


 Anda juga dicadangkan untuk mendapatkan Mykid secara percuma yang bersaiz kad pengenalan anda bagi memudahkan anda  membawa pengenalan diri anak dalam dompet anda. Mykid hanya boleh diambil di JPN selepas sebulan setengah dari tarikh pendaftaran. Untuk mengambil Mykid, anda dikehendaki untuk membawa dokumen berikut :
a) surat notis kutipan Mykid 
b) kad pengenalan diri pembawa notis
c) Sijil Kelahiran asal bayi

Bayi dan ibu tidak perlu dibawa semasa mendaftarkan Sijil Kelahirannya dan semasa mengambil  Mykid. Jika bayi lahir sebelum sampai ke hospital, anda perlu mengambil borang pendaftaran kelahiran bayi anda di Pejabat Pendaftaran berdekatan dengan anda.