Bab 12 : Sehari Bersama Bayi

Kebiasaannya, orang-orang tua suka berleter jika ibu muda melayan bayi dengan kasar dan kurang tepat dalam melakukan sesuatu. Hal ini kerana, tulang bayi masih terlalu lembut, mudah terseliuh dan patah. Jadi, ibubapa perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara kepada bayi dan anda tidak perlu berkecil hati dengan leteran yang hanya terhasil kerana rasa kasih dan sayang mereka pada anda dan bayi yang baru lahir. Gunakan peluang bersama orang-orang tua untuk mempelajari cara yang terbaik dalam menjaga bayi anda sebelum waktu berpantang tamat dan anda perlu menjaga bayi sendirian. Dalam bahagian sehari bersama bayi, anda akan didedahkan cara untuk menjaga bayi.

Berbicara dengan bayi
Adalah sangat baik jika anda berbual-bual dengan bayi anda sepanjang hari. Jika anda ingin menyalin baju, lampin pakai buang, memandikan atau sebagainya, biasakan diri anda untuk memberitahu bayi apa yang bakal anda lakukan padanya. Dengan itu, bayi akan lebih bersedia dengan apa yang akan anda lakukan padanya. Bayi juga akan menguasai kemahiran berkomunikasi, berasa selamat dan meningkatkan percaya diri. Hargai dan laluilah setiap detik bersama bayi anda dengan perasaan gembira kerana ia adalah pengalaman berharga untuk anda dan bayi. Inilah pengalaman yang pernah dilalui oleh ibu kita dalam membesarkan kita sehingga sedewasa ini.

Cara memandikan bayi
Sebelum memandikan bayi pada waktu pagi, pastikan anda menyiapkan pakaian yang akan dipakai oleh bayi selepas mandi seperti baju, seluar, barut perut, stokin kaki dan tangan serta barangan lain seperti bedak, tuala, minyak bayi, ubat tali pusat dan kapas. Hamparkan baju yang telah dibuka butangnya, diapers dan barut perut di atas tilam. 

Letakkan tub mandi bayi di atas sink  bagi memudahkan anda memandikan bayi. Masukkan air paip ke dalam tub mandi bayi. Campurkan air panas ke dalam tub tersebut sehingga air terasa suam pada siku anda. Asingkan segayung air mandian untuk mensyampu kepala bayi. Pastikan mandian dan syampu bayi berada di tepi tub mandi.

Setelah selesai, buka pakaian bayi dan diapers dengan berhati-hati. Balut badan bayi dengan tuala dan dukung bayi dengan kepalanya pada siku anda ke tub mandi. Basahkan kepala bayi dengan air di dalam gayung dan syampukan kepalanya dengan cermat. Bilas syampu sehingga bersih dengan air di dalam gayung. Anda boleh menukarnya dengan air suam yang bersih jika perlu. Setelah selesai, buang air bilasan tersebut dan gantikan dengan air bilasan yang baru untuk bilasan terakhir badan bayi.

Buka tuala bayi dan masukkan badannya ke dalam tub mandi. Gunakan sebelah tangan anda untuk memegang badan bayi dan sebelah lagi untuk membasahkannya dengan air. Gosok badan bayi dengan cermat menggunakan mandian bayi. Bilas badan bayi menggunakan air di dalam tub mandi sehingga bersih. Setelah selesai, angkat badan bayi dengan kedua-dua belah tangan anda dan minta seseorang menjiruskan bayi dengan air dari gayung tadi. Setelah itu, selimut badan bayi dengan tuala dan bawa bayi ke tilamnya.

Lapkan bayi anda dan baringkan di atas barut perut tadi. Sapukan ubat tali pusat menggunakan kapas pada pusatnya dan minyak bayi pada perut dan belakang bayi. Ikat barut perut dengan sederhana ketat. Pakaikan diapers, baju dan seluar bayi dengan segera agar bayi tidak kesejukan. Sapukan juga minyak bayi pada perut, belakang, betis dan telapak kaki bayi untuk mengelakkan kembung perut. Kemudian pakaikan sarung kaki dan tangan bayi.

Bertungku bayi

Di sesetengah daerah, bayi juga ditungku dengan menggunakan pasir yang digoreng di atas kuali dengan api sederhana. Pasir ini kemudiannya diletakkan di tengah-tengah beberapa lapis kain perca dan diikat dengan tali. Bayi yang telah dimandikan akan diselimutkan dengan kain lampin dan ditungku seluruh badannya kecuali kepala. Ia bertujuan untuk memanaskan badan bayi dan mengelakkan kembung perut. Anda juga boleh menggunakan tungku bayi moden yang mengandungi habbatus sauda’ dan biji ketumbar. Letakkan pada seterika panas, rasa dengan kulit kepanasannya sebelum ditungku pada bayi.
                                                    
                                                       
Menyusukan Bayi
Bayi biasanya kelaparan selepas mandi, sila rujuk nota penyusuan susu ibu untuk mempelajari cara menyusu bayi yang betul. Anda perlu menyusu bayi sekerap mungkin mengikut keperluannya. Susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi anda. Selain mengeratkan hubungan, susu ibu menguatkan pertahan tubuh anak melawan penyakit. Anak yang sihat, keluarga bahagia.

Menukar lampin pakai buang

                                           
Tukar lampin pakai buang bayi anda apabila ia agak penuh dengan air kencing dan apabila bayi membuang air besar. Lampin pakai buang yang terlalu lama dipakai akan menyebabkan ruam lampin pada bayi anda.  Untuk menukar lampin pakai buang, pastikan anda menyediakan lapik plastik, plastik sampah, tisu basah, botol penyembur yang berisi air dan sehelai seluar. Letakkan lapik plastik dibawah bayi anda untuk mengelakkan kotoran dan air terkena tilam bayi. Buka seluar bayi anda dan pelekat lampin pakai buang. Selitkan bahagian atas lampin pakai buang di bawah punggung bayi. Bersihkan kemaluan hadapan dan belakang bayi dengan tisu basah. Buang tisu basah yang telah digunakan ke dalam plastik sampah. Semburkan air pada kemaluan bayi dan lap dengan tisu basah. 

Jika bayi membuang air besar, pastikan kotoran dan bau dibersihkan dengan lebih cermat sebelum air disemburkan padanya. Lap kemaluan bayi sehingga ia betul-betul bersih. Pegang kedua-dua belah kaki bayi dengan sebelah tangan anda untuk mengelap bahagian dubur bayi dan menarik keluar lampin pakai buang yang telah kotor. Letakkan lampin pakai buang yang baru dan letakkan kembali kedua-dua belah kaki bayi ke bawah. Lekatkan pelekat lampin pakai buang dengan kedudukan yang selesa. Pakaikan seluar baru pada bayi anda.

Masukkan lampin pakai buang dan tisu basah yang telah digunakan ke dalam plastik sampah untuk dibuang ke dalam tong sampah. Anda juga boleh menggunakan lampin kain moden (cloth diapers) yang berada di pasaran.

Menidurkan Bayi
                                                      
Bayi akan tertidur selepas menyusukannya atau selepas anda mendodoikannya. Tidurkan bayi anda di atas tilam bayi. Pastikan anda tidak meninggalkan bayi di atas tempat yang agak tinggi seperti sofa dan katil. Bayi mungkin terjatuh dari tempat tersebut semasa bayi berguling semasa ketiadaan anda. Ia akan menyebabkan kecederaan pada fizikal dan otak bayi. Jika anda tiada katil bayi yang berpagar dan bayi tidur di atas katil bersama anda. Ada baiknya jika anda meletakkan tilam di atas lantai dan menyimpan katil agar keselamatan bayi anda lebih terjamin. 

Mengurut Bayi
Mengurut adalah satu kaedah yang biasa untuk membantu tumbesaran fizikal bayi terutama bayi yang lahir tidak cukup bulan. Ia mampu menambah berat bayi sebanyak 47%, menguatkan otot dan memperbaiki motor pergerakan. Bayi juga akan mempunyai daya ketahan tubuh badan dan tidak mengalami kembung atau kolik. Urutan bayi membina hubungan yang istimewa antara ibu dan bayi serta meningkatkan rasa percaya diri bayi. Kami bawakan urutan ‘Baby Johnson’ untuk dikongsi bersama anda.

Pastikan anda dan bayi berada dalam keadaan tenang semasa urutan dilakukan. Buka pakaian bayi dan letakkan di atas tilam bayi. Urutlah menggunakan minyak bayi dengan cara yang disyorkan. 

A. Urutan Kepala
           
1. Pegang kepala bayi anda dengan kedua-dua tangan. Urut kulit kepalanya perlahan-lahan dengan hujung jari seolah-olah anda sedang membersihkan menggunakan syampu.
2. Dengan kedua-dua ibu jari anda, usap kening bayi perlahan-lahan sehingga ke pelipisnya.
3. Letakkan kedua-dua ibu jari anda pada bahagian tulang hidung dan tekan lembut sambil menurun ke arah bahagian atas tulang pipi, pada tulang pipi dan di bawah tulang pipi.
4. Gunakan kedua-dua ibu jari anda untuk mengusap bahagian atas bibir dari bahagian tengah keluar hingga ke pipi.
5. Urut lembut gusi bayi anda dengan menggunakan ibu jari anda. Usap keluar.
6. Letakkan kedua-dua tangan anda di bahagian belakang telingan bayi dan usap turun hingga ke dagu.

B. Urutan Dada

1.  Open book : Dengan menggunakan kedua-dua tangan anda, usap dada bayi bermula dari bahagian tengah dengan pergerakan ke atas dan keluar. Lakukan tanpa mengangkat tangan anda dari badan.
2. Gerakkan tangan anda dalam bentuk hati dan tolak perlahan-lahan ke tengah dada.
3. Criss Cross : Dari sebelah tepi bahu kanan, usap secara menyerong sehingga ke bahu kiri. Lakukan tanpa mengangkat tangan anda.
4. Kemudian, secara silang-menyilang, gunakan tangan sebelah lagi untuk member usapan menyerong dari sebelah bahu ke bahu sebelah lagi.


C. Urutan Tangan
        
1. Indian Milking : Urut sebelah tangan pada satu masa. Genggam lembut tangan bayi anda dan usap dengan pergerakan ke atas, dari bahu ke pergelangan tangan. 
2. Swedish Milking : Lakukan usapan yang sama, Cuma kali ini dari pergelangan tangan bergerak ke bahu.
3. Buka tapak tangan bayi anda, pegang hujung jarinya dan pusingkan dengan lembut. Lakukan pada satu jari pada satu masa.
4. Gunakan ibu jari anda untuk mengusap tapak tangan bayi ke arah jejarinya.
5. Olek lengan bayi antara kedua-dua tapak tangan anda dari pergelangan tangan hingga ke bahu. Ulangi pada tangan sebelah lagi.

D. Urutan kaki
        
1. Mulakan dengan melakukan usapan “Indian Milking”, urut kaki dengan gerakan ke atas dari pinggul ke pergelangan kaki. Seterusnya lakukan usapan “Swedish Milking” pada kaki dengan menggerakkan tangan anda dari pergelangan kaki ke pinggul bayi.
2. Genggam lembut paha bayi anda dengan kedua-dua tangan menggenggam ke atas bawah, usap kaki ke bawah ke kaki dengan kedua-dua tangan anda berpusing-pusing secara bertentangan seolah-olah anda sedang memerah tuala.
3. Olekkan kaki bayi antara kedua-dua tangan seolah-olah anda mengolekan pencanai.
4. Urut tapak kaki bayi dengan ibu jari anda dari tumit ke hujung jari kaki.
5. Genggam lembut hujung jari kaki satu persatu. Ulangi pada kaki sebelah.

E. Urutan Perut


1. Angkat kaki bayi, tekan perlahan-lahan kea rah badannya. Ia membantu menenangkan otot-otot pada perut bayi.
2. Water Wheel : Gunakan bahagian tepi kedua-dua tangan, lakukan usapan seolah-olah mendayung pada perut bayi, sebelah tangan diikuti dengan sebelah lagi.
3. Walking The Wind :  Gerakkan jari jemari anda ke sekitar pinggangnya, dari sebelah kiri anda hingga ke sebelah kanan.
4. Sun Moon : Bentukkan bulan separuh yang terbalik, usap dengan tangan kanan secara pusingan jam dari kiri ke kanan. Tangan kangan di atas,tangan kiri di bawah dan diikuti pergerakan pusingan jam tangan kanan.
5. ‘I’ : buat satu gerakan ke bawah di bahagian kiri perut bayi (sebelah kanan anda) dengan menggunakan tangan kanan.
6. Love :  Buat satu gerakan ‘L’ terbalik dari kiri ke kanan anda.
7. You : Buat gerakan terbalik ‘U’ dari kiri ke kanan anda. Semasa anda membuat latihan ini, katakan “I LOVE YOU” dengan nada suara penuh kasih sayang. Bayi anda akan menggemarinya. 

F. Urutan Bahagian Belakang


1. Letakkan bayi anda dalam kedudukan meniarap di hadapan anda atau di atas kaki anda yang berada dalam keadaan berlunjur. Pastikan tangan bayi di hadapan dan bukannya di tepi.
2. Dengan kedua-dua tangan anda, urut belakang bayi secara melintang.
3. Gunakan sebelah tangan untuk mengusap belakang dari tengkok ke bawah.
4. Gunakan jari anda untuk mengurut dengan cara membuat bulatan kecil pada bahagian sebelah tulang belakang bayi. Ulangi pada bahagian sebelah lagi. Elakkan dari mengurut di atas tulang belakang bayi.
5. Usap perlahan-lahan belakang bayi dari tengkok ke bawah dengan satu usapan terus untuk memberitahu bayi bahawa kerja mengurut telah selesai.
6. Akhir sekali, ciumlah bayi anda.

Nota : Ulangi setiap langkah urutan sebanyak 3 hingga 5 kali sebelum melakukan langkah berikutnya.