Semasa dalam kandungan ibu, bayi mendapat sumber makanannya daripada plasenta (uri). Semua sumber makanan ini terputus sebaik sahaja bayi lahir dan tali pusatnya dipotong. Tugas plasenta sebagai pembekal makanan pada bayi akan diambil alih oleh susu ibu. Kelenjar pituitary pada otak ibu akan merembeskan hormon prolaktin yang meransang kelenjar mamari pada payudara untuk menghasilkan susu ibu.
Maha suci Allah yang menciptakan susu putih daripada campuran darah merah dan zat makanan yang berada dalam badan ibu. Bahkan tiada satu pun kilang susu di dunia mampu menghasilkan susu seumpamanya. Susu pertama yang dihasilkan oleh ibu dipanggil kolustrum. Ia berwarna sedikit kekuningan dan kaya dengan antibodi, hormon, vitamin, air dan garam mineral yang diperlukan oleh bayi pada hari-hari pertama mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang sangat mencabar. Kandungan dalam susu setiap ibu adalah berbeza mengikut keperluan bayi masing masing.
Susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi anda, selain kaya dengan nutrien, ia bersih, selamat untuk bayi, jimat belanja dan siap dinikmati pada bila-bila masa dengan suhu dan rasa yang digemari bayi.
Percaya atau tidak, bayi yang diberi susu ibu lebih sihat, aktif, cepat berkembang dan kulit mereka lebih tegang serta licin. Sedangkan bayi yang diberi susu formula biasanya kelihatan lemah, pasif, hidung kemerah-merahan dan berair, kulit mengendur dan berkedut serta mempunyai rekod perubatan yang banyak kerana sering diserang batuk, demam, selsema, jangkitan paru-paru dan cirit birit.
Perbezaan Susu Ibu Dengan Susu Lembu
Jom kita lihat perbandingan nutrien yang wujud dalam susu ibu dan susu lembu yang biasa dijadikan minuman alternatif untuk bayi.
a) antibodi
Susu ibu adalah satu-satunya makanan yang mengandungi antibodi yang membantu bayi melawan jangkitan kuman kerana antibodi bayi masih belum mampu melakukannya sendiri. Kandungan antibodi yang tinggi terdapat dalam kolostrum yang pertama dihasilkan oleh para ibu.
b) kasein
Susu lembu mempunyai kandungan kasein yang tinggi. Ia dijumpai dalam susu basi yang berketul-ketul. Bahan ini akan mengurai kepada partikel-partikel yang besar dalam perut dan menyulikan proses penghadaman dan menyebabkan kembung perut.
c) kandungan gula
Kandungan gula laktosa dalam susu ibu adalah lebih tinggi iaitu 7gm/L berbanding gula laktosa dalam susu lembu iaitu 4.8gm/L. Kandungan gula yang tinggi sangat perlu kerana badan bayi yang kecil hanya mempunyai simpanan gula yang kecil.
d) Garam Mineral
Susu lembu mengandungi kalsium dan fosforus yang tinggi tapi nisbahnya yang tidak stabil menyebabkan ia sukar dicerna. Kandungan fosforus yang tinggi berbanding kalsium dalam susu lembun menyebabkan bayi tidak dapat menyerap kalsium dan terdedah dengan risiko kekurangan kalsium. Gandungan kalsium dan fosforus dalam susu ibu lebih stabil dan bagus untuk perkembangan bayi.
e) zat besi
Susu ibu mengandungi zat besi yang tinggi iaitu 50% sedangkan zat besi dalam susu lembu lebih rendah seterusnya menyebabkan bayi berisiko untuk menghidap penyakit anemia (kekurangan darah)
Cara menyusukan bayi dengan betul
Secara amnya, kepala, tengkok dan badan bayi haruslah dalam keadaan selari. Muka bayi perlu menghadap payudara dan hidungnya pula bertentangan dengan puting payudara ibu. Pastikan bayi rapat pada ibu sehingga perutnya bertemu dengan perut ibu. Ampu kepala, bahu dan punggung bayi dengan tangan ibu atau bantal. Mulut bayi melekat penuh pada bahagian areola (bahagian bewarna hitam pada payudara). Pastikan bayi dan ibu berada dalam keadaan selesa.
Posisi Menyusukan Bayi
Biasanya, bayi mengambil masa yang agak lama untuk menyusu sehingga menyebabkan ibu kelenguhan. Oleh itu, terdapat beberapa posisi yang dicadangkan untuk ibu menyusukan bayi anda dengan lebih relaks. Jadi ibu bebas memilih untuk menyusu dalam posisi mendukung (cradle hold), mendukung bersilang (cross-cradle hold), mendakap (football hold) atau berbaring (Lying down) mengikut keselesaan anda dan bayi.
Menyusukan Bayi Kembar
Jika anda telah mengetahui daripada awal bahawa anda akan mendapat bayi kembar, maka bersedialah lebih awal dari segi mental dan fizikal untuk menyusukan kedua-dua bayi anda secara eksklusif. Tiada istilah tidak cukup susu kerana Allah menjadikan susu mencukupi untuk keperluan bayi-bayi anda. Semakin kerap bayi-bayi menyusu, maka kelenjar susu akan siap untuk menyediakan lebih banyak susu bagi keperluan bayi-bayi anda.
Pastikan ibu minum banyak air, cukup rehat dan mengambil hidangan lengkap yang berkhasiat. Siaplah untuk menjawab persoalan tetamu, ‘cukupkah susu anda?’ Sesungguhnya, Allahlah yang menurunkan rezeki untuk setiap hambanya yang hidup di atas muka bumi. Ramai ibu-ibu kembar telah berjaya menyusukan bayi mereka dengan sempurna kerana mereka percaya bahawa susu ibu adalah susu terbaik untuk kembar mereka. Kenapa tidak anda ?
Anda boleh memilih untuk menyusukan bayi anda satu persatu dengan empat posisi yang telah dicadangkan di atas atau menyusukan kedua-duanya sekali pada satu masa mengikut posisi di bawah. Pastikan bayi dan ibu dalam keadaan selesa semasa menyusu. Jika anda mampu melakukannya, maka anda adalah seorang ibu yang sangat hebat !
Masalah penyusuan
Kebiasaannya, ibu muda menghadapi beberapa masalah dalam menyusukan bayi mereka seperti :
a) Puting susu leper atau tenggelam
Sesetengah wanita menghadapi masalah puting susu leper (flat nipples) atau tenggelam (inverted nipples). Bagi menentukan keadaan puting susu anda, anda boleh menekan bahagian areola dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari. Puting yang normal akan tertonjol keluar, yang leper tidak akan tertonjol keluar dan yang tenggelam akan tenggelam apabila ia dipicit.
Namun begitu, perbezaan ini sebenarnya tidak menghalang proses penyusuan kerana mulut bayi perlu merangkumi areola dan bukan sekadar puting semata-mata. Ibu perlu yakin bahawa anda mampu menyusukan bayi secara eksklusif. Gentel bahagian puting agar tertonjol keluar.
Ajar bayi anda melekap dengan betul sebaik sahaja lahir dengan posisi penyusuan yang betul. Berlatihlah dengan bayi anda sekerap mungkin agar puting yang leper akan menjadi normal. Jika payudara anda penuh, pastikan anda mengepamnya terlebih dahulu kerana payudara yang penuh akan menyebabkan puting bertambah leper serta menyulitkan proses pelekapan dan penyusuan.
b) Bengkak susu
Bengkak susu ialah kejadian di mana susu peralihan memenuhi payudara yang masih terisi dengan sedia ada sehingga menyebabkan kesakitan dan mungkin menyebabkan ibu demam. Keadaan seperti ini seringkali menyebabkan ibu fobia untuk meneruskan penyusuan secara ekslusif.
Masalah bengkak susu biasanya terjadi apabila payudara tidak dikosongkan dengan sepenuhnya semasa bayi menyusu, pelekapan mulut bayi yang salah, pemberian puting kosong, air masak dan susu formula pada bayi serta jangka masa penyusuan yang pendek.
Pastikan anda melekapkan mulut bayi dengan betul semasa menyusu dan menyusu dalam waktu yang panjang kerana susu ibu terbahagi kepada dua kategori iaitu susu awal yang lebih cair dan susu akhir yang lebih pekat dengan nutrien yang diperlukan oleh bayi.
Susukan bayi mengikut kehendak bayi sebelum dia menangis kelaparan. Jika anda baru ingin menyusukan setelah bayi menangis, anda dan bayi akan stress dan menyebabkan susu tidak keluar walaupun payudara bengkak. Kejutkan juga bayi ketika tidur jika telah tiba waktu untuk menyusu. Jika payudara masih bengkak walaupun telah menyusukan bayi anda, pamkan susu yang masih ada menggunakan tangan atau alat mengepam susu. Tuamkan kain yang dibasahi air suam pada payudara anda semasa mengepam susu yang bengkak untuk melancarkan perjalanan susu dan mengurangkan kesakitan.
c) Kurang susu
Kekurangan susu biasanya terjadi di awal kelahiran bayi. Mulakan penyusuan seawal mungkin iaitu sebaik sahaja bayi lahir. Susu yang agak pekat kekuningan adalah susu awal ibu yang kaya dengan nutrien dan antibodi yang baik untuk bayi anda. Teruskan menyusukan bayi anda kerana hisapan bayi akan menambahkan pengeluaran susu seterusnya. Ibu perlu yakin bahawa susu ibu cukup untuk keperluan bayi.
Ibu juga perlu mengambil air dengan kerap, minum susu dan hidangan yng berkhasiat. Terdapat juga beberapa petua untuk membanyakkan susu seperti mengambil hidangan lobak putih, habbatus sauda’, minyak kelapa dara dan sebagainya.
d) bayi keliru puting
Bayi keliru puting terjadi apabila anda turut menyusukan bayi menggunakan botol susu. Bayi akan lebih selesa menyusu melalui botol kerana bayi tidak perlu menggunakan otot mulut yang banyak untuk mendapatkan susu.
Apa yang perlu anda lakukan ialah memberhentikan pemberian susu melalui. Pujuk bayi untuk menyusu daripada payudara ibu ketika bayi masih belum lapar. Berikan susu setiap 1-2 jam supaya bayi cekap untuk melekap dan menyusu dari payudara ibu. Menyusukan bayi ketika waktu malam sebelum tidur juga mampu untuk mengatasi masalah ini.
Biasanya bayi akan mengamuk jika diberikan susu ibu ketika sedang lapar kerana susu lambat keluar. Mengepam susu juga akan turut memperbanyak susu ibu. Jadi jika bayi enggan menyusu, mengepam susu juga dapat membantu pengeluaran susu anda. Proses untuk mengembalikan bayi menyusu terus melalui payudara memerlukan kesabaran yang tinggi.
Kesan Negatif Pada Bayi Yang Tidak Diberi Susu Ibu
Berikut adalah masalah yang dihadapi oleh bayi yang tidak diberikan susu ibu:
a) Perkembangan kognitif dan kecerdasan lembab
Otak bayi berkembang pesat dalm 3 tahun pertama usianya. Menurut kajian, bayi yang diberikan susu ibu lebih bijak berbanding bayi yang diberi susu formula. Bayi yang lebih lama usia menyusunya adalah lebih tinggi skor kepintarannya berbanding bayi yang menyusu dalam waktu yang singkat.
b) Diabetes
Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1 tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menghidap diabetes.
c) SIDS (Sudden Infant Death Syndrome)
SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Namun begitu kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya SIDS.
d) Masalah pernafasan
Kajian menunjukkan pemberian susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.
e) Jangkitan telinga
Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula. Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi lain seperti pengumpulan cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan sehingga boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan pada kanak-kanak tersebut.
f) Kanser
Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.
g) Jangkitan saluran pencernaan
Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan. Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah, doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan).
Kurang menyusu bermakna kurang nutrien yang diperolehi oleh bayi. Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan antibodi yang akan membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pencernaannya. Sembelit juga sering terjadi kepada bayi yang diberi susu formula.
h) Keberkesanan vaksin
Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan berbanding bayi yang diberi susu ibu.
i) Perkembangan rahang dan otot muka
Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat! Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian berbanding kanak-kanak yang minum susu formula. Penyusuan ibu menjadikan pembentukan rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi. Susu formula juga menyebabkan karies susu pada gigi anak anda.
j) Obesiti
Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).
k) Sembelit
Bayi yang diberi susu formula terdedah kepada masalah sembelit kerana kandungan air di dalam susu formula kurang berbanding susu ibu.
Kesimpulannya, pemberian susu formula banyak mendatangkan masalah kesihatan kepada bayi anda. Jadi, nekadlah untuk menyusukan anda dengan susu ibu kerana susu ibulah pilihan yang terbaik untuk tumbesaran anak anda.