Aqidah ialah keyakinan yang jitu akan keesaan Allah dan segala yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-sunah. Aqidah sempurna seterusnya akan membawa kepada ibadah yang benar dan akhlak yang terpuji. Ingatlah bahawa anda akan kecewa jika hanya memberi kesenangan dunia kepada anak-anak sehingga mengabaikan persiapan akhirat mereka kerana mereka akan membesar menjadi anak derhaka yang membebankan anda di dunia dan akhirat. Sebaliknya pula jika anda mendidiknya menjadi anak soleh yang menyenangkan hati dan bermanfaat hingga ke akhirat. Oleh itu, Islam menitikberatkan soal aqidah bermula daripada pemilihan calon ibu untuk melahirkan zuriat yang soleh. Di mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi.
Pemilihan ibu yang beriman
Islam menitikberatkan soal agama saat memilih calon isteri sekali gus ibu kepada anak-anak yang bakal lahir. Ibu yang beriman mampu mendidik anak-anak agar turut beriman dan sebaliknya. Pemilihan isteri atau ibu yang tidak beriman adalah satu daripada kederhakaan bapa terhadap anaknya.
Bukan sekadar ibu beriman yang kita dambakan tapi bapa juga perlu beriman dan beramal dengan ajaran Islam secara keseluruhannya kerana bapa adalah ketua keluarga yang menjadi model untuk anak-anak. Terkadang sedih sekali melihat ibubapa yang culas mendirikan solat, tidak hadir solat Jumaat dan ponteng puasa. Lalu bagaimana mereka ini mampu mendidik anak-anak menjadi orang-orang soleh ?
Amalan si ibu sepanjang mengandung
Jika anda renung-renungkan ibu yang mengandung suci daripada haid selama dia mengandung iaitu sekitar 9 bulan 10 hari. Sepanjang waktu ini, gunakanlah peluang untuk anda memperbanyakkan amalan kebaikan agar bayi yang dikandung dipengaruhi dengan sifat yang baik. Ucaplah kata-kata dan doa yang terbaik kerana ia memberi impak yang besar terhadap bayi anda.
Kebiasaannya si ibu di Malaysia membaca surah Luqman, Maryam dan Yusuf ketika mengandung. Namun, jika boleh diusahakan baca atau dengarkanlah bacaan al-Quran surah-surah lain juga terutama kepada mereka yang inginkan anak yang hafaz al-Quran. Bayi sangat sensitif terhadap apa yang didengarnya semasa di dalam kandungan ibu, maka gunakanlah kesempatan ini dengan sebaiknya.
Selain makanan seimbang, makanan halal dari sumber pendapatan yang halal juga banyak membentuk peribadi ibu dan anak-anak.
Diazan dan diiqamahkan
Setelah bayi lahir, bapa sebaiknya mengazankan di telinga kanan dan mengiqamahkan di telingan kiri bayi anda agar kalimah pertama yang didengar di dunia adalah kalimah mentauhidkan Allah.
Abu Daud dan At-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Rafi’ bahawa dia berkata : Aku melihat Rasulullah saw menyuarakan adzan pada telinga al-Hasan bin Ali ketika Fatimah melahirkannya.
Al-Baihaqi dan Ibnu Sunni meriwayatkan dari al-Hasan bin Ali dari Nabi saw, bahawa beliau bersabda: Barangsiapa diberi anak yang baru lahir, kemudian dia menyuarakan azan dan qamat pada telinga kirinya maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya Ummu ‘sh-Shibyan (pengikut jin yang juga dikenal sebagai qarinah).
Diberikan nama yang baik
Nama adalah doa buat si anak, namakanlah anak dengan nama yang terbaik dan dipanggil dengan panggilan yang terbaik pula. Nama akan banyak mempengaruhi peribadi si anak dan mereka juga akan dipanggil di akhirat dengan nama tersebut.
Ditahnikkan
Dari Hadis Abu Burdah, dari Abu Musa sa bahawa ia berkata: Aku telah dikurniakan seorang anak. Kemudian aku membawanya kepada Nabi saw lalu beliau menamakannya Ibrahim, menggosok-gosokkan mulut dengan sebiji kurma dan mendoakannya dengan keberkahan. Setelah itu, beliau menyerahkannya kembali kepadaku.
Mengikut kajian saintifik, tahnik atau menggosokkan kurma pada lelangit bayi mampu mengurangkan kesakitan yang dialami oleh bayi. Selain amalan sunnah, ia juga meransang deria rasa bayi pada lidah di awal usianya.
Dicukurkan rambutnya
Ibnu Ishaq telah meriwayatkan dari Abdullah bin Abu Bakar dari Muhammad bin Ali bin Al-Husain ra ia berkata : Rasulullah saw telah mengadakan aqiqah dengan seekor kambing untuk al-Hassan. Beliau bersabda kepada Fatimah, cukurlah rambut kepalanya dan bersedekahlah dengan perak sesuai dengan berat timbangan rambutnya. Kemudian Fatimah menimbangnya dan timbangannya itu mencapai satu dirham atau sebahagian dirham.
Amalan ini mengandungi dua hikmah iaitu dari segi kesihatan dan hubungan sosial di mana ia akan membuka selaput kulit kepala, mempertajam penglihatan, pendengaran dan deria bau. Dengan bersedekah akan mempererat hubungan masyarakat dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
Mencukur yang dimaksudkan di sini ialah membuang keseluruhan rambut bayi tanpa meninggalkan mana-mana bahagian rambut pun pada kepalanya agar tidak menyerupai pemeluk agama lainnya.
Diaqiqahkan
Imam Ahmad dan At-Tirmidzi meriwayatkan dari Aisyah ra. Dia mengatakan Rasulullah saw bersabda, “Bagi anak lelaki disembelih dua ekor kambing yang mencukupi (yang sama umur dan bentuknya) dan bagi anak perempuan disembelih satu ekor kambing”
Hukum aqiqah seorang anak adalah sunat dan dianjurkan mengikut pendapat kebanyakan imam dan ahli fiqih. Jika memungkinkan, maka orang tua sebolehnya mengaqiqahkan anaknya sebagai menghidupkan sunnah, meraikan kegembiraan mendapat anak dan mempererat silaturrahim.
Aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terikat hanya pada hari ketujuh kelahiran. Sedangkan jika ibubapa berkemampuan bolehlah mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua kambing dan anak perempuan dengan satu kambing. Namun jika ibubapa tidak cukup berkemampuan, maka cukuplah dengan seekor kambing untuk anak lelaki atau anak perempuan berdasarkan hadis berikut agar tidak menyusahkan umat Islam.
Dan Imam Malik berkata: Abdu I-lah bin Umar ra telah mengaqiqah anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan satu kambing satu kambing.
Disunatkan
Disunatkan atau dikhatankan adalah membuang sedikit kulit pada bahagian kemaluan. Ianya wajib bagi anak lelaki dan sunat bagi anak perempuan. Hikmahnya adalah melindungi diri daripada sebarang penyakit kelamin dan membersihkan diri saat melakukan ibadah.
Mentauhidkan Allah
Didiklah anak-anak untuk mentauhidkan Allah. Allahlah yang menciptakan kita dan dunia seisinya. Allahlah yang berkuasa ke atas semua makhluk. Allahlah yang selalu melihat perbuatan kita dan akan membalasnya. Allah jualah tempat kita akan kembali. Ajarilah anak untuk sayang pada Allah dan takut untuk berbuat kejahatan. Jangan takutkan anak pada jin dan syaitan tapi ajarilah anak untuk berlindung kepada Allah dari kejahatan jin dan syaitan.
Dibiasakan dengan solat
Solat adalah rukun Islam kedua sekaligus dinamakan tiang agama. Biasakanlah anak anda dengan solat sejak dia lahir dengan meletakkan mereka berhampiran dengan tempat solat anda. Sesungguhnya, Rasulullah saw juga membiarkan Hasan dan Husin berada di atas belakang baginda saat solat bersama sahabat. Seiring dengan peningkatan usia si anak, sediakan peralatan solat mereka sendiri dan kefahaman tentang solat.
Dalam hadist dikatakan : “Perintahkanlah anakmu untuk solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan solat) ketika berumur 10 tahun. “ Imbalan dan hukuman (Reward and punishment). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.
Dibiasakan dengan ibadah lain
Selain solat, anda boleh membiasakan anak dengan tadarus al-Quran, puasa, haji dan sebagainya. Biasakan juga anak-anak dengan doa-doa harian.
Memisahkan tempat tidur
Islam menganjurkan pemisahan tempat tidur ibubapa dan anak-anak juga anak lelaki dan anak perempuan. Hal ini kerana, aurat kita cenderung terbuka tanpa sengaja saat tidur sehingga terdorong untuk berlakunya sumbang mahram. Rasulullah saw sendiri tidak akan menyentuh isterinya jika ada anak kecil atau bayi yang berada sebilik dengan mereka. Sebaiknya, pemisahan bilik tidur dibiasakan sebelum anak berusia 10 tahun.
Meminta izin pada 3 waktu
Anak juga diajarkan untuk meminta izin untuk memasuki bilik ibubapa dalam 3 waktu iaitu sebelum subuh, sebelum zohor dan selepas isyak. Tiga waktu ini ialah waktu kebiasaan ibubapa berehat di dalam bilik. Hikmahnya adalah supaya aurat ibubapa terpelihara daripada pandangan si anak saat mereka berada di bilik tidur. Sebaiknya, ibubapa mengambil langkah mengunci pintu agar anak tidak menolak pintu bilik anda secara mengejut. Dengan itu, ibubapa dapat menutup aurat mereka sebelum menemui anak-anak.
Elakkan melakukan hubangan kelamin suami isteri ketika anak bersama anda dalam satu bilik. Ulama muktabar mengatakan bahawa akan celakalah hidup seorang anak yang melihat atau mendengar hubungan kelamin ibubapanya.
Menutup aurat
Menutup aurat adalah kewajipan kita sebagai seorang muslim. Sebagai ibubapa, kitalah yang terlebih dahulu faham dan melaksanakan perintah Allah yang satu ini. Biasakan anak bertudung terutama ketika keluar dari rumah. Berilah kefahaman tentang anggota aurat lelaki dan perempuan serta kepada siapa mereka perlu menutup aurat mereka. Galakkan juga anak-anak untuk memakai kain basahan ketika mandi dan menutup aurat selepas keluar dari bilik air.
Menundukkan pandangan
Apa yang dimaksudkan dengan menundukkan pandangan ialah dengan menghindari pandangan mata daripada melihat perkara yang haram seperti aurat yang wajib untuk ditutup. Tidak menonton filem yang membuka aurat dan melakonkan aksi lucah dan sebagainya. Sesungguhnya, barangsiapa menjaga pandangan matanya dari melihat yang haram kerana takutkan Allah, maka Allah akan mengurniakan kepada dirinya kemanisan iman. Sebagai ibubapa, andalah akan menjadi ‘role model’ anak-anak.
Berdoa selalu
Sebagai ibubapa, teruskan berdoa untuk kesejahteraan dunia dan akhirat anak-anak kita. Percayalah bahawa, anak-anak kita yang nakal juga mempunyai peluang yang besar untuk menjadi soleh dengan hidayah daripada Allah. Semua yang terjadi adalah ujian keimanan daripada Allah.
Terapkan nilai-nilai islami ke dalam jiwa anak-anak secara berperingkat mengikut perkembangan usia mereka kerana ibubapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkan anaknya menjadi orang mukmin, yahudi, nasrani atau majusi.
Kembali ke Menu Utama
Kembali ke Menu Utama