Bab18 : Nota Ibu Berpantang

Ibu bersalin sebaiknya berpantang minimum 40 hari selepas bersalin. Ada juga yang berpantang 60 hari dan 100 hari. Bagi ibu bersalin secara Cesarean, anda dicadangkan berpantang 60 hari dan lebih dalam soal makan sehingga setahun atau dua tahun.

Apa itu berpantang ?
Berpantang bermaksud larangan untuk makan sesuatu dan melakukan sesuatu dalam suatu tempoh masa. Bagi ibu bersalin, ia adalah satu tempoh masa emas yang perlu dilalui agar si ibu dapat mengembalikan kesihatannya kepada keadaan asal. Dalam tempoh berpantang, seseorang yang direhatkan daripada melakukan kerja rumah, mengelakkan memakan makanan yang berbisa, perlu memakan jamu, bertungku, berurut dan membarut perut dengan ramuan herba.

Kenapa berpantang penting ? 
Bahagian yang paling terjejas bagi ibu bersalin ialah organ peranakan iaitu rahim dan servik di mana organ tersebut membesar semaksimum mungkin untuk menampung bayi dan menyalurkannya keluar dari rahim ibu ke dunia. Selepas bayi lahir, organ peranakan perlu mengecil ke saiz asal. Kegagalan proses mengembalikan organ ini kembali kepada saiz asal akan menjejaskan kesihatan ibu, menyebabkan rahim jatuh dan boleh membawa maut.

Ibu yang tidak berpantang dengan baik akan mengalami ketidakpuasan hubungan seks suami isteri kerana servik sedikit longgar dan anda akan mengalami sakit otot yang ketara terutama apabila mencecah usia emas. 

Kes rahim jatuh atau proleps pula terbahagi kepada tiga peringkat yang mana peringkat pertama rahim jatuh sedikit dari kedudukan asal. Peringkat kedua ialah rahim boleh disentuh dari pintu serviks dan peringkat ketiga rahim keluar daripada badan melalui servik. Peringkat proleps yang ketiga mungkin menyebabkan seorang ibu meninggal jika rahim gagal dimasukkan kembali ke dalam badan. 

Hanya segelintir bidan yang pakar sahaja mampu memasukkan kembali rahim yang terkeluar dan prosesnya sangat menyakitkan berbanding sakit bersalin. Jika ia terjadi, harapan ibu untuk terus hidup sangat tipis. Oleh hal yang demikian, orang-orang tua sangat menekankan aspek berpantang dengan sebaik-baiknya.

Walaupun anda berasa agak tertekan dengan leteran orang tua dan keterbatasan dalam bergerak sepanjang waktu berpantang, fikir-fikirkanlah kembali kerana semua yang dilakukan oleh orang tua kita adalah untuk kebaikan masa depan kita. Sewajarnya, kita berterima kasih kepada mereka yang menjaga kita sepanjang berpantang kerana mereka cuba untuk melayan kita seperti permaisuri raja.

Diet dalam berpantang
Diet dalam berpantang biasanya banyak dipengaruhi oleh kawasan tempat anda tinggal. Secara amnya, ibu berpantang tidak dibenarkan untuk meminum ais. Air pula perlulah dihirup perlahan-lahan sehingga habis secawan. Ini kerana faraj lambat mengecut dan berair. Sebaiknya minum air halia tua yang direbus dengan gula merah, kulit kayu manis, jintan manis dan daun pandan. Ia bertujuan untuk membuang angin, mengecutkan rahim dan melawaskan pembuangan air besar.

Elakkan mengambil makanan berangin dan sejuk seperti kekacang, pulut, pisang, tembikai, ais, ais krim, jagung, buah nona dan tumbuhan menjalar yang lain. Makanan ini akan menyebabkan bayi kembung dan ibu demam serta muntah-muntah.

Berikut adalah contoh diet untuk ibu berpantang :
a) pagi 
Satu cawan susu atau minuman bercoklat atau bijirin. Ambillah satu hidangan kuih, roti, mee atau bihun untuk sarapan. Anda boleh menikmati hidangan yang sepertinya untuk minum pagi.

b) Tengahhari
Ambillah satu hidangan lengkap yang mengandungi nasi, sumber protein seperti ikan dan sayur.

c) Petang
Segelas susu dengan sedikit kuih atau biskut. Sebolehnya minuman susu diambil tiga kali sehari.

d) Malam
Ambillah satu hidangan lengkap yang mengandungi nasi, sumber protein seperti ikan dan sayur.

Senaman dalam pantang
Senaman penting untuk memulihkan urat saraf. Caranya ialah dengan duduk berteleku dengan meletakkan tapak kaki di bawah punggung. Tarik nafas perlahan-lahan, tahan nafas seketika dan lepaskan semula. Ulangi 20 kali. Cara ini dapat membantu mengempiskan perut.

Anda juga boleh berbaring dan meluruskan kaki. Angkat sebelah kaki ke atas secara perlahan-lahan. Kemudian angkat kedua-dua belah tangan dan ramas antara satu sama lain secara bersilang. Senaman berat lain hanya boleh diamalkan selepas tiga bulan berpantang.

Berbarut, bekung dan korset       
Ukuran rahim sebelum mengandung lebih kecil berbanding bola tenis dan mampu membesar sehingga sebesar  talam. Selepas bersalin, anda akan mendapati bahawa perut anda umpama belon yang telah kempis dan ada ruang kosong setelah bayi keluar dari rahim anda. Berbarut perut bertujuan untuk mengembalikan perut anda dan organ peranakan kepada keadaan asal (seperti sebelum mengandung). Ia juga mengelakkan perut dimasuki angin yang menyebabkan anda loya dan muntah. 

Barut biasanya diperbuat daripada kain belacu atau kain cita kerana ia mudah menyerap peluh dan lebih selesa. Ia berbetuk segi empat tepat yang berukuran 130cm x 25cm bersama enam hingga 8 tali yang digunakan untuk mengikat barut pada perut anda.

Apa yang anda perlu lakukan ialah menghampar kain barut perut ibu dengan tali menghadap ke lantai. Letakkan kain perca di atas barut perut ibu untuk mengelakkan ia daripada terkena ubat barut. Ibu dikehendaki berbaring dengan perut berada di tengah-tengah barut perut ibu. Sapukan ubat barut pada bahagian perut dan kawasan belakangnya. Barut perut ibu dengan kain perca dan barut perut. Ikat barut perut dengan talinya mengikut keselesaan ibu. 

Bagi ubat barut pula, anda boleh mengisar kunyit hidup dan garam sebagai ubat barut untuk tiga hari pertama selepas pulang daripada hospital. Ubat barut untuk hari seterusnya ialah ubat yang anda beli dalam set bersalin. Anda juga boleh menggunakan buih yang terhasil apabila daun kapal terbang digosok bersama kapur makan (di kawasan perkampungan).                                                   
Setiap kali mandi, bersihkan sisa ubat barut yang melekat pada kulit. Jangan risau dengan warna kulit yang kurang menarik akibat ramuan herba tadi kerana ia akan pulih selepas selesai berpantang. Barut sekurang-kurangnya dipakai dalam dua sesi iaitu dari selepas mandi pagi hingga 6.00petang (mandi malam) dan selepas mandi malam hingga mandi pagi keesokan harinya. Jadi, adalah lebih elok jika anda mempunyai dua set barut.
   

Ini pula bengkung moden yang boleh digunakan oleh ibu yang bersalin normal dan Cesarean sejurus selepas kelahiran. Ianya lebih mudah dipakai iaitu dengan melekatkan hujungnya pada mana-mana bahagian mengikut keselesaan anda. Ia juga boleh terus digunakan selepas tamat tempoh berpantang.
                               

Korset pula adalah pilihan bijak untuk anda yang ingin terus ramping selepas tempoh berpantang. Ia didatangkan dalam bentuk seluar dalam hingga ke baju dalam bagi membentuk tubuh anda menjadi lebih menawan. Ia juga lebih memudahkan pergerakan anda melakukan aktiviti seharian. 

Bertungku
                                       
        
Bertungku adalah satu kaedah untuk mengecilkan kembali organ peranakan anda. Ia menggunakan bebola besi, batu sungai atau anak lesung batu tumbuk yang dipanaskan di atas api yang perlahan selama satu atau dua jam. Lipat kain bersih berbentuk segi empat. Letakkan daun mengkudu, sirih atau kunyit di atas kain tersebut. Kemudian letakkan tungku yang telah dipanaskan di bahagian tengah kain, bungkus dan ikat kain tersebut dengan ketat. Jika tungku terlalu panas, lapikkan kain pada bahagian yang ingin ditungku. Jika tungku kian menyejuk, anda boleh membuka lipatan kain yang membalut tungku untuk merasai kepanasannya. 

Bertungku biasa dilakukan sebelum mandi pagi. Mulakan pada bahagian tapak kaki kanan dahulu. Letakkan tungku pada ibu jari kaki kemudian jari-jari lain. Tungku bahagian tengah kaki dan tumit berulang-ulang kali. Tungku pula sisi kanan kaki dari ibu jari ke pangkal paha. Lakukan juga pada sisi kiri. Letakkan tungku pada bawah pelipat lutut dengan menekan lutut ke bawah. Lakukan cara yang sama untuk kaki sebelah kiri.

Jika memungkinkan, mintalah seseorang untuk menungku bahagian belakang anda dalam posisi meniarap. Tungku bahagian tengah, kiri dan kanan pinggul. Kemudian teruskan dari pinggang hingga ke bahu sebelah kanan dan kiri. Tungku pula bahagian belikat hingga ke leher. Tungku dari pangkal lengan sebelah kanan hingga ke hujung jari. Lakukan juga pada lengan kiri.

Baringkan badan anda untuk menungku bahagian perut. Tekan ulu hati seketika dan tarik keluar ke kanan, rehatkan seketika di bahagian pinggang. Dari pinggang kanan, tolak ke tengah pusat. Dari pinggang kiri, tolak ke tengah pusat. Tekan bahagian rahim dan tolak perlahan-lahan ke bahagian atas. Lebihkan masa bertungku pada bahagian perut untuk melancarkan pengaliran darah nifas. Akhir sekali, duduk bersimpuh dan letakkan tungku di bawah punggung untuk mengecutkan bahagian sulit. Yang ini pula tungku herba dan tungku lektrik masa kini.


Berurut                                                 
Berurut bertujuan untuk melancarkan perjalanan darah, memulihkan kesegaran badan dan membanyakkan susu ibu. Urutan boleh dibuat sebelum atau selepas bertungku. Pastikan orang yang mengurut anda adalah bidan yang berpengalaman. Adalah lebih baik jika urutan dilakukan oleh wanita di kawasan yang agak terlindung.

Mandi daun-daunan
Ibu berpantang biasanya mandi setelah berurut dan bertungku. Air mandian dicampurkan dengan rebusan daun-daun kunyit terus, daun lenggundi, daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai, daun bonglai, daun mengkudu dan sedikit rempah halba. Air mandian ini dapat memberi khasiat kepada badan, melancarkan perjalanan darah, menghilangkan gatal, mewangikan dan menyegarkan badan.

Cara menyediakan air mandian ialah dengan menyediakan daun yang disebut di atas dalam anggaran secekak setiap satu. Bersihkan daun-daun tersebut dan masukkan ke dalam periuk dengan air sebanyak dua liter. Letakkan di atas api perlahan sehingga mendidih. Masukkan kesemuanya ke dalam besen besar. Tambahkan air pili sehingga suam-suam kuku. Basahkan badan dan sabun seperti biasa. Bilaslah badan anda dengan air mandian sehingga habis. Anda juga boleh menggantikan daun-daun ini dengan mandian herba yang siap dibotolkan.

Makan Jamu
Sepanjang waktu berpantang, anda diwajibkan untuk makan jamu yang telah dibeli. Jamu ini terdiri daripada akar kayu. Anda juga boleh mengisar daun kapal terbang, daun pulau, daun sina dan daun tapak sulaiman untuk dibuat jus. Jus daun ini dapat mengubat luka dalaman anda dan menggelakkan anda sembelit ketika berpantang. Anda juga digalakkan untuk mencuci bahagian kemaluan dan jahitan episiotomi dengan air rebusan akar kayu seperti manjakani. Ia bertujuan untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan menrapatkan kembali bahagian sulit anda.

Cara Membuang Air
Ibu bersalin adalah lebih sesuai menggunakan tandas duduk dan bukan tandas cangkung. Jika rumah anda hanya mempunyai tandas cangkung sahaja, anda dinasihatkan untuk membuang air besar dan kecil dengan duduk bersimpuh di tepi lubang tandas dan bukannya duduk mencangkuk seperti kebiasaannya. Jadikan kain sarung lama sebagai lapik duduk anda untuk mengelakkan kesejukan simen tandas. Gunakan air suam untuk membersihkan kemaluan anda bagi mempercepatkan penyembuhan luka.

Sembelit adalah kesakitan yang menakutkan buat ibu berpantang. Elakkan sembelit dengan mengambil herba bersifat pelawas. Anda juga boleh meminta ubat pelawas daripada jururawat.

Ibu juga boleh menyapu Mayyababy Cream pada perut dan ibu lawas tanpa perlu meneran. Ini boleh mrnggelakkan buasir pada ibu bersalin

Aktiviti Lasak
Ibu berpantang perlu mengelakkan sebarang aktiviti lasak seperti membeli-belah, menaiki motorsikal, menyapu rumah, mencuci kain dengan tangan dan aktiviti lain yang menggunakan banyak tenaga. Elakkan duduk bersila, berjalan laju dan tidur mengiring kerana ia akan melonggarkan serviks anda. Sebaiknya kerja rumah dilakukan oleh orang lain sepanjang anda berpantang. Jika anda mempunyai anak lain, pastikan mereka dijaga oleh orang lain yang tinggal bersama anda. Anda juga dinasihatkan untuk tidak mengangkat benda berat termasuk mendukung anak yang lain bagi mengelakkan kejatuhan rahim.

Hubungan Kelamin
Anda juga haram melakukan hubungan kelamin sepanjang waktu pengaliran darah nifas. Hubungan seks ketika nifas masih belum kering akan memudaratkan kesihatan pihak suami dan isteri. Setelah mandi wajib, anda boleh berhubungan kelamin bersama suami jika anda benar-benar telah sembuh iaitu sekurang-kurangnya 40 hari. Namun, orang-orang tua dahulu hanya membenarkannya setelah hari ke-100. Jadi, berbincanglah bersama suami untuk kebaikan anda bersama kerana si ibu kebiasaannya agak fobia untuk melakukan hubungan kelamin kerana kesakitan yang dialami semasa bersalin.

Kesabaran suami dalam menunggu adalah penghargaan yang cukup besar buat isteri. Namun begitu anda masih boleh berasmara bersama. 

Darah Nifas
Nifas (النفاس) ialah darah yang keluar dari rahim wanita atas sebab melahirkan anak. Ia keluar sama ada di saat melahirkan anak, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: 
“Apa yang dilihat oleh wanita semasa bermula tolakan bersalin ialah darah nifas. Ia (nifas) tidak disyaratkan oleh dua atau tiga hari sebelum bersalin tetapi disyaratkan oleh tolakan yang mengiringi bersalin. Jika berlaku pendarahan selain itu (tolakan bersalin), maka ia bukan nifas.” 

Tempoh Nifas
Para ilmuan berselisih pendapat tentang tempoh bagi nifas, sama ada lama atau pendek. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: 
“Bagi nifas tidak ada tempoh minimum atau maksimum. Jika ditakdirkan seorang wanita melihat darah lebih daripada 40 atau 60 atau 70 hari lalu kemudian barulah ia berhenti, maka itu adalah darah nifas. Akan tetapi jika pendarahan berlaku secara berterusan (melebihi tempoh di atas) maka ia adalah darah fasid (istihadah). Maka batasnya (bagi kes ini) ialah 40 hari kerana sesungguhnya tempoh 40 hari adalah kebiasaan (bagi wanita yang sudah bersalin) sebagaimana yang disebut dalam atsar-atsar (pendapat tokoh terdahulu).” [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms. 37]

Berdasarkan penjelasan di atas:
1. Apabila menjadi kebiasaan bagi seorang wanita untuk mengalami nifas melebihi 40 hari dan dia dapat mengenali tanda berhentinya, maka hendaklah dia menunggu sehingga nifasnya berhenti.
2. Jika hal di atas bukanlah kebiasaan bagi dirinya, hendaklah dia menjadikan tempoh 40 hari sebagai tanda berhenti. Hendaklah dia mandi wajib setelah genap 40 hari. Pendarahan seterusnya dikira sebagai istihadah dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah.
3. Jika nifas berhenti dalam tempoh kurang 40 hari, maka (setelah mandi wajib) dia dianggap suci tanpa perlu menunggu genap 40 hari. Akan tetapi hendaklah dipastikan bahawa nifasnya benar-benar sudah berhenti. Jika nifasnya hanya berhenti dalam tempoh kurang sehari, dia belum dikira sudah berakhir tempoh nifasnya.
4. Jika nifas bersambung dengan haid, maka hendaklah dia tunggu sehingga berhenti haidnya. Diwajibkan ke atasnya hukum-hukum haid.

Pendarahan hanya boleh dikategorikan sebagai nifas apabila ia keluar dengan sebab fitrah mengandung dan melahirkan anak. Jika ia keluar dengan sebab selain itu, seperti keguguran, maka ia bukanlah nifas tetapi darah penyakit (al-‘Irq) yang diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah.

Masa yang paling awal untuk nifas secara fitrah ialah 80 hari sedangkan yang lazim ialah 90 hari . Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menulis, sebagaimana yang dinukil daripada kitab al-Iqna’:
“Apabila berlaku pendarahan kerana tolakan bersalin sebelum 80 hari (daripada hari mula hamil), maka janganlah dipedulikan (kerana ia bukan nifas). Seterusnya: “
1.        Jika berlaku pendarahan selepas 80 hari kerana tolakan bersalin, hendaklah dia tidak bersolat dan tidak berpuasa (kerana ia adalah nifas).[1]
2.       Jika berlaku pendarahan selepas 80 hari kerana keguguran, hendaklah dia mendirikan solat dan berpuasa (kerana ia bukan nifas tetapi istihadah).
3.       Jika tidak jelas baginya (sama ada pendarahan disebabkan kehamilan atau keguguran) maka hendaklah dihukum berdasarkan yang zahir (yang paling diyakini).[2]

Hukum-Hukum Nifas
Sebagaimana haid dan istihadah, terdapat beberapa hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang mengalami nifas. Secara umumnya hukum-hukum nifas adalah sama dengan hukum-hukum haid kecuali dalam perkara-perkara berikut:
  
Pertama: Iddah
Nifas tidak dijadikan ukuran iddah bagi seorang isteri yang dijatuhkan talak (diceraikan) oleh suaminya. Oleh itu apabila seorang isteri yang hamil dicerai oleh suaminya, maka tempoh iddahnya ialah sehingga melahirkan anak, bukan dengan berhentinya nifas. Apabila seorang isteri yang baru sahaja melahirkan anak dicerai oleh suaminya, maka iddahnya ialah menunggu hingga datang haid lalu dikira berdasarkan putaran haidnya, bukan berdasarkan nifasnya.
  
Kedua: Ila’
Ila’ ialah tindakan seorang suami yang bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya buat selama-lamanya atau untuk satu tempoh yang melebihi empat bulan. Jika ini berlaku, maka tempoh empat bulan (atau lebih sebagaimana yang disumpah) dikira berdasarkan putaran haid isteri dan bukan berdasarkan nifasnya.
  
Ketiga: Baligh
Tahap baligh bagi seorang wanita diukur berdasarkan datang haid dan bukan datang nifas. Ini kerana seorang wanita tidak mungkin akan mengalami nifas jika dia tidak hamil, dan dia tidak mungkin akan hamil jika tidak terlebih dahulu mengalami haid.
  
Keempat: Nifas yang terputus-putus
Bagi darah haid, jika ia keluar, kemudian terhenti sebentar, kemudian keluar semula, maka mudah untuk diyakini bahawa yang keluar semula itu adalah haid juga. Sebagai contoh, seorang wanita yang lazimnya memiliki tempoh haid lapan hari setiap bulan, lalu dia haid pada empat hari yang pertama, kemudian ia terhenti pada hari kelima dan keenam, kemudian ia keluar semula pada hari ketujuh dan lapan, maka mudah untuk diyakini bahawa yang datang semula pada hari ketujuh dan lapan tersebut adalah haid juga. 
  
Berbeza pula bagi darah nifas, para ilmuan berbeza pendapat ke atas kes nifas yang terputus. Umumnya terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama:
Apabila nifas terhenti sebelum 40 hari kemudian ia keluar semula pada hari ke-40, maka yang keluar semula itu dikategorikan sebagai “darah yang disyaki”. Dalam kategori ini, wanita yang mengalaminya wajib bersolat dan berpuasa. Sebelum itu ketika sedang nifas, diharamkan ke atasnya apa yang diharamkan ke atas wanita yang sedang haid.[3] Dia wajib mengqada puasanya selepas suci (jika dia nifas dalam bulan Ramadhan). Ini adalah pendapat yang mayshur dalam Mazhab Hanbali. 

Pendapat Kedua:
Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor nifas, maka ia adalah nifas. Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor haid, maka ia adalah haid.[4] Apabila darah keluar secara berterusan, ia adalah istihadah.

Pendapat yang kedua inilah dianggap yang benar. Imam Ibn Qudamah rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 349 menukil kata-kata Imam Malik rahimahullah: Jika dia (wanita) melihat darah selepas dua atau tiga hari, yakni selepas habis nifas, maka ia adalah darah nifas dan jika selepasnya ( lebih dari tiga hari) maka ia adalah darah haid.[5] Pendapat kedua ini juga merupakan pilihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.
  
Kelima: Bersetubuh
Apabila seorang wanita menjadi suci daripada haidnya lebih awal daripada tempoh yang biasa baginya, diharuskan bagi suami menyetubuhinya. Akan tetapi apabila seorang wanita yang sedang nifas suci daripada nifasnya lebih awal daripada tempoh 40 hari, wujud perselisihan pendapat sama ada harus atau tidak bagi suami menyetubuhinya.

Yang benar diharuskan bagi suami menyetubuhinya dan ini adalah pendapat majoriti ilmuan. Untuk berkata “tidak harus” memerlukan dalil syarak padahal tidak wujud dalil syarak dalam permasalahan ini. Terdapat sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah di mana isteri ‘Utsman ibn Abi al-‘Aas (yang baru suci daripada nifas) telah menghampirinya padahal di saat itu belum genap tempoh 40 hari. Maka ‘Utsman berkata: “Janganlah kamu menghampiri aku.” Kisah ini tidak boleh dijadikan dalil menghukum “tidak harus” kerana tindakan ‘Utsman mungkin di atas sikap berhati-hati kerana tidak yakin bahawa isterinya telah benar-benar suci atau akan keluar darah semula disebabkan persetubuhan atau sebagainya, Allah yang lebih mengetahui.

________________________________________
[1]           Dalam ertikata lain, syarat nifas ialah (1) ia keluar disebabkan tolakan bersalin dan (2) Ia keluar selepas 80 atau 90 hari daripada hari mula hamil (penyunting)
[2]           Demikian adalah bagi zaman Ibn Taimiyyah yang meninggal dunia pada tahun 728H. Alhamdulillah, di masa kini sudah ada peralatan yang boleh menentukan kehamilan atau keguguran. Maka mudah bagi seorang wanita untuk membezakan pendarahannya sama ada disebabkan kehamilan (nifas) atau keguguran (istihadah). (penyunting)
[3]           Seperti solat, puasa dan tawaf. (penyunting)
[4]           Yang dimaksudkan dengan faktor nifas ialah hamil, disertai tolakan dan paling awal 80 hingga 90 hari selepas hari pertama hamil. Faktor haid adalah apa yang selain daripada faktor nifas kecuali jika ia berterusan, maka ia adalah istihadah. (penyunting)
[5]           Maksudnya jika nifas terhenti kurang daripada tiga hari lalu kemudian keluar semula, yang keluar itu adalah nifas juga. Jika nifas terhenti lebih daripada tiga hari lalu kemudian keluar semula, yang keluar semula itu bukanlah nifas tetapi haid. Maka tempoh berhenti selama tiga hari adalah pembeza antara darah nifas atau haid. (penyunting)

Gangguan Mental Selepas Bersalin 

Proses kehamilan dan kelahiran adalah salah satu fasa perubahan dalam kehidupan seorang wanita yang mana ia boleh mendatangkan ketidakseimbangan dalam diri wanita tersebut. Ia boleh dianggap sebagai satu proses kematangan diri walaupun sesetengah wanita mungkin menghadapi masalah. Penyakit mental selepas bersalin boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

a) Ganguan emosi postpartum 
Ia berlaku ke atas 25 - 85% wanita yang baru bersalin. Tanda-tanda penyakit ini timbul beberapa hari selepas bersalin dan ia memuncak pada hari kelima. Namun begitu, gangguan emosi ringan ini biasanya pulih dalam masa dua minggu.

b) Kemurungan postpartum 
Ianya berlaku di kalangan 10 - 20% wanita selepas bersalin. Gejala-gejala timbul dalam masa sebulan selepas bersalin. Pada kebiasaannya, penyakit ini sembuh dengan tersendiri dalam jangka masa tiga hingga enam bulan, tetapi bagi kes-kes yang berat ia mungkin berterusan sehingga dua tahun.

c) Psikosis postpartum 
Keadaan ini jarang dijumpai tetapi serius dan berlaku dalam setiap 500 - 1000 jumlah kelahiran. Gejala penyakit ini timbul dengan pantas dan biasanya timbul beberapa hari sehingga dua atau tiga minggu selepas bersalin. Walaupun begitu,risiko tetap tinggi selepas beberapa bulan kemudian.

Tanda-tanda dan gejala

a) Gangguan emosi postpartum
Kemurungan yang ringan dan emosi yang berubah-ubah
Mudah menangis
Mudah melenting
Gelisah
Kurang penumpuan
Kurang selera makan dan gangguan tidur

b) Kemurungan postpartum
Perasaan murung
Letih lesu dan tidak bermaya 
Suka memencilkan diri
Kerap mengadu akan kurang sokongan sosial
Salah faham akan kehendak bayi
Kurang penumpuan dan daya ingatan

c) Psikosis postpartum
Gangguan tidur dan perubahan selera makan
Mudah resah
Berfikir untuk membunuh diri dan melakukan pembunuhan
Perasaan dan kelakuan yang pelik
Gejala psikosis. Contoh seperti mendengar suara walaupun pada zahirnya tiada orang di sekeliling (halusinasi) atau kepercayaan yang tidak rasional (delusi)

Komplikasi
Bayi-bayi kepada ibu yang menghidapi penyakit mental selepas bersalin kelak berkemungkinan mempunyai masalah dalam emosi, tingkah laku dan pembelajaran. Di samping itu di kalangan kes-kes yang melampau, ibu yang mempunyai penyakit mental selepas bersalin ini boleh mencederakan bayi mereka.

Rawatan
a) Gangguan emosi ringan postpartum 
Pendidikan mengenai gangguan emosi ini amatlah penting. Ibu yang diganggu dengan masalah emosi ini memerlukan sokongan daripada ahli keluarga dan juga bantuan dalam mengurangkan punca tekanan psikologi. Ahli keluarga hendaklah membawa ibu untuk berjumpa dengan doktor sekiranya tanda-tanda penyakit didapati semakin teruk.

b) Kemurungan postpartum
Pendidikan, memberi ketenangan dan sokongan terutamanya daripada ahli keluarga adalah amat digalakkan untuk membantu dalam proses pemulihan. Psikoterapi sokongan dan terapi kognitif didapati berkesan, di samping ubat-ubatan yang diberikan dalam kes-kes tertentu. Bagi kes-kes yang teruk, pesakit mungkin akan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan dalam kes begini, perjumpaan antara ibu dan anak digalakkan.

c) Psikosis postpartum
Kemasukan ke wad mungkin diperlukan. Ubat-ubatan diberikan untuk mengawal gejala-gejala. Dalam setengah kes-kes yang teruk terapi "elektrokonvulsif" mungkin diperlukan. Ahli keluarga pula perlu diberi penerangan mengenai penyakit ini.

Pencegahan
Pengesanan awal ke atas ibu yang berisiko untuk mendapat penyakit mental postpartum amatlah penting agar rawatan dapat dimulakan dengan secepat mungkin. Wanita yang dikategorikan sebagai mempunyai risiko yang tinggi termasuk mereka pernah mengalami penyakit mental postpartum, sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental, kehamilan yang tidak dirancang dan kepincangan rumah tangga. Sokongan emosi, rohani, fizikal dan sosial amatlah penting bagi ibu-ibu selepas bersalin sebagai satu aspek pencegahan penyakit mental selepas berkahwin.