Jangka masa anda dan bayi berada di wad adalah bermula dari selepas bersalin sehingga diluluskan oleh doktor untuk pulang ke rumah. Di wad, bapa akan bertindak mengazankan anak lelaki dan mengiqamahkan anak perempuan. Jika anda berkeseorangan, anda juga boleh mengiqamatkan bayi anda. Seboleh-bolehnya, kalimah mentauhidkan Allah adalah kalimah yang pertama didengar oleh bayi anda.
Pada waktu pagi, anda boleh mandi di bilik air dengan air suam sebelum bayi anda bangun. Berjalanlah dengan perlahan-lahan walaupun anda berasa bahawa anda mampu berlari selepas bersalin. Mandi secepat mungkin dan tukarkan pad bertali anda kerana bayi anda akan terjaga pada bila-bila masa. Basuh pad dengan bersih dan masukkan ke dalam tong khas di dalam bilik air. Anda dinasihatkan untuk menutup aurat semampunya terutama bertudung kerana pelawat lelaki akan berada di dalam wad sepanjang waktu melawat. Pakailah t-shirt lengan panjang atau ‘blaus’ berlengan panjang, stokin untuk mengelakkan kesejukan dan kain sarung untuk mengurangkan gerakan anda ketika memakainya. Pakai pakaian yang disediakan oleh pihak hospital jika ada. Seperti gambar di bawah atau mengikut hospital masing-masing.
Anda juga tidak wajib untuk solat sepanjang waktu nifas. Kertas akan dihamparkan di atas tilam anda untuk mengelakkan darah melekat pada alas tilam. Tukarlah kertas tersebut dengan yang baru jika perlu.
Sekitar 7.00 pagi, anda akan diberikan sarapan pagi. Kemudian, jururawat akan meminta anda menanggalkan pakaian bayi dan selimutkannya dengan tuala untuk dimandikan. Pastikan anda menukarkan diaper bayi anda jika dia telah membuang air besar kerana ini akan menyulitkan jururawat untuk memandikannya. Siapkan pakaian yang akan dipakai oleh bayi sebelum menolak katil bayi ke bilik mandi bayi, di situ bayi anda akan dimandikan oleh jururawat. Sebaik sahaja dimandikan, segeralah kembali ke katil untuk memakaikan pakaian kepada bayi anda yang kesejukan. Pastikan anda cermat ketika menukarkan dan memakaikan pakaian bayi kerana tulang bayi anda masih terlalu lembut.
Dalam masa yang sama, anda dan bayi sedang menunggu giliran untuk diperiksa oleh doktor. Bayi akan diperiksa tindakan refleksnya, penglihatan, pendengaran, penyusuan, sudah membuang air besar dan kecil serta tahap jaundisnya. Anda juga akan dipastikan tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan. Anda dan bayi akan berada di wad sehingga semuanya berada dalam keadaan yang memuaskan.
Gunakan masa sepanjang waktu di wad untuk menyusukan bayi anda sekerap mungkin. Kejut bayi setiap dua jam untuk disusukan walaupun dia masih tidur dengan lena. Bayi yang banyak tidur dan kurang menyusu berpotensi untuk mendapat jaundis. Berjuanglah untuk menyelamatkan bayi anda daripada serangan jaundis.
Anda kemudiannya akan dihidangkan minum pagi, makan tengahhari, minum petang dan makan malam mengikut waktu sajian hospital tersebut. Pelawat akan datang melawat anda pada waktu melawat dan seorang ahli keluarga wanita dibenarkan untuk menjaga anda terutama pada waktu malam. Jadi, anda boleh meminta orang yang datang menunggu anda untuk membantu anda mengurus bayi bagi mengurangkan pergerakan anda. Peneman anda dinasihatkan untuk membawa alas tidur, selimut kecil dan bantal kerana kebiasaannya tempat tidur untuk penunggu adalah di atas kerusi atau lantai.
Kebiasaannya bayi akan terjaga di waktu malam untuk menyusu, menukar lampin yang basah dan kembung. Pastikan anda kerap menyapu minyak bayi pada perut, bahagian belakang, betis dan tapak kaki bayi untuk mengelakkan kembung atau melegakannya terutama selepas mandi dan selepas menukar lampin. Anda juga perlu membuatkan bayi sendawa selepas menyusu untuk mengelakkan bayi kembung. Caranya adalah dengan meletakkan perut bayi pada bahu anda dan menepuk punggungnya secara perlahan-lahan sehingga sendawa.
Jika anda dan bayi lulus pemeriksaan doktor pada pagi keesokan harinya. Anda boleh bersiap untuk pulang. Mintalah suami atau ahli keluarga untuk mengambil ubat yang telah disenaraikan oleh doktor di farmasi hospital dan membayar kos hospital anda di bahagian kaunter pembayaran. Suami boleh menggunakan kerusi roda untuk membawa anda sehingga ke kereta anda dan mengembalikan kerusi roda tersebut ke tempatnya.
Wad Jaundis
Jika bayi anda disahkan mengidap jaundis, anda dan bayi akan dipindahkan ke wad kanak-kanak. Rutin di wad kanak-kanak hampir sama dengan dengan sebelumnya, bayi hanya dipakaikan diaper dan pelindung mata sebelum ditidurkan di dalam incubator sehingga sihat kembali. Bayi akan disusukan setiap dua jam. Selepas Subuh, anda akan mendengar tangisan bayi anda dan bayi-bayi lain yang diambil darahnya untuk diuji tahap jaundis mereka. Keputusan ujian hanya diketahui pada waktu tengahhari. Jika tahap jaundis stabil, maka anda dan bayi boleh pulang setelah mengambil ubat dan menyelesaikan bil hospital. Jika tidak, anda dan bayi perlu berkampung di wad sehingga bayi anda sihat.
Sekiranya pihak hospital tidak menyediakan katil untuk anda, hanya bayi sahaja yang akan dibenarkan tinggal di hospital. Anda akan dibenarkan pulang dan susu perlu diperah ke dalam botol untuk dihantar pada bayi anda oleh suami. Jika anda mempunyai peruntukan kewangan, anda boleh menyewa incubator untuk digunakan di rumah.
Saranan saya, susukan bayi anda sekerap mungkin bagi mengelakkan jaundis kerana anda akan berasa sangat hiba melihatnya di dalam incubator dan mendengar tangisannya saat sampel darah diambil setiap pagi.
Setelah anda dan bayi dibenarkan pulang, hantarkan surat pengesahan kelahiran kepada jururawat di klinik kesihatan berdekatan dengan tempat anda berpantang. Jururawat akan datang ke rumah anda untuk memeriksa tahap kesihatan anda dan bayi. Pastikan anda terus menyusukan bayi sekerap mungkin untuk mengelakkan jaundis. Biasanya kemungkinan jaundis akan menyerang sehingga tali pusat bayi tanggal dengan sendiri iaitu sekitar 7 hari.